Masidi Manjun

KOTA KINABALU – Pegawai perkhidmatan awam persekutuan di Sabah yang bukan berasal dari negeri itu serta tanggungan mereka kini boleh memasuki Sabah tanpa perlu memohon kelulusan khas.

Kelonggaran yang dipersetujui oleh kerajaan negeri Sabah itu bagaimanapun tertakluk kepada beberapa syarat termasuk memiliki dokumen perjalanan terhad (DPT) atau Pasport Malaysia Antarabangsa (PMA) sebelum masuk ke Sabah.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Masidi Manjun berkata, syarat lain yang ditetapkan ialah menggunakan kedua-dua dokumen itu untuk mendapatkan cap Seksyen 66(1)(d) Akta Imigresen 1959/63 di pintu-pintu masuk negeri Sabah dan mengemukakan dokumen sokongan seperti surat perakuan atau penempatan daripada jabatan untuk berkhidmat di Sabah.

“Bagi tanggungan hendaklah menunjukkan bukti perhubungan atau pertalian dengan pegawai sebelum memasuki negeri Sabah dan hendaklah mendapatkan cap itu atau memohon pas lawatan sosial jangka panjang di pejabat imigresen setelah masuk ke Sabah,” katanya pada sidang media, di sini hari ini.

Masidi yang juga jurucakap COVID-19 kerajaan negeri berkata, kerajaan juga mengecualikan sekatan kemasukan bagi diplomat yang di bawah Perintah Pengecualian dan tanggungan.

Beliau berkata, bagi diplomat atau staf kedutaan yang belum mempunyai pas atau kemasukan kali pertama, mereka perlu mendapat kelulusan masuk daripada Ketua Pengarah Imigresen terlebih dahulu.

Bagi anak kapal yang tidak melibatkan sektor minyak dan gas untuk warganegara dan bukan warganegara yang masuk bagi menjalankan aktiviti ‘sign-on’ atau ‘joint ship’ perlu menyertakan dokumen antaranya kad pengenalan atau pasport, surat jaminan daripada Jabatan Imigresen dan buku pelaut.

Sementara itu, Masidi berkata, empat sekolah di Sandakan diarah tutup sejak dua hari lepas apabila terdapat beberapa pelajar dan guru positif COVID-19.

Sekolah berkenaan ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Perempuan, SMK Batu Sapi, SMK Elopura Bestari dan SM St Mary, yang ditutup selama 10 hari untuk kerja-kerja sanitasi.

Selain itu, Masidi berkata, kerajaan negeri juga bersetuju melanjutkan waktu operasi bagi kedai runcit, kedai serbaneka, pasar raya mini, pasar raya, farmasi, kedai menjual ubat-ubatan, kedai dobi serta kedai cermin mata sehingga 10 malam.

“Semua aktiviti ini tertakluk kepada pematuhan prosedur operasi standard (SOP) sedia ada termasuk kedai dobi layan diri perlu menyediakan seorang pekerja di premis bagi mengawal bilangan keluar masuk pelanggan dan memastikan SOP dipatuhi,” katanya. – Bernama