Hampir setiap hari ada Pati menceroboh masuk secara haram ke negara ini, ditangkap pihak berkuasa.

KUALA LUMPUR – Polis menahan seramai 578 individu atas kesalahan ingkar SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sepanjang operasi Task Force Pematuhan semalam.

Daripada jumlah itu, 525 individu telah dikenakan kompaun, manakala 53 direman.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, antara kesalahan direkodkan ialah gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal seramai 108 individu, rentas negeri, daerah tanpa kebenaran (90), tidak memakai pelitup muka (78), aktiviti pusat hiburan (68), gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (56), premis beroperasi lebih masa, tanpa kebenaran (51) dan lain-lain (127).

Bagi kawalan sempadan negara Operasi Benteng pula, katanya, pihak berkuasa menangkap 40 pendatang asing tanpa izin (Pati) kerana memasuki negara ini secara haram.

Ismail Sabri Yaakob

Menurut beliau, sebuah kenderaan darat dan satu unit kapal atau bot turut dirampas, selain pihak berkuasa mengesan 119 bot atau kapal berlegar di perairan negara melalui tujuh  aktiviti penglihatan.

Mengenai ujian saringan pekerja warga asing pula, katanya, semalam, Kementerian Sumber Manusia (KSM) memaklumkan, seramai 8,028 pekerja terbabit telah menjalani ujian saringan dan daripada jumlah itu, 47 disahkan positif Covid-19.

“Secara kumulatifnya, sejak 1 Disember tahun lalu, seramai 259,129 pekerja warga asing telah menjalani ujian saringan Covid-19, melibatkan 10,741 majikan.

“Daripada jumlah itu, 4,782 orang disahkan positif Covid-19, manakala 254,347 lagi negatif dan sehingga kini, sebanyak 890 klinik terlibat dengan program saringan ini.

“Ini selari dengan arahan kerajaan yang mewajibkan semua pekerja warga asing khususnya di enam negeri iaitu Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Sabah, WP Kuala Lumpur dan Labuan menjalani ujian saringan Covid-19 dan kos ujian saringan ditanggung oleh majikan masing-masing,” katanya. – MalaysiaGazette