Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Kerajaan perlu bertindak segera menggerakkan kempen bersepadu meningkatkan kesedaran dan memperkasa komuniti setempat bagi melaporkan insiden penderaan kanak-kanak serta keganasan di rumah.

Pihak bertanggungjawab seperti Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) perlu lebih agresif dalam hal berkaitan penderaan kanak-kanak dengan menghebahkan semua nombor talian bantuan kecemasan dan balai polis berdekatan.

Pengerusi Biro Kanun Angkatan Wanita Amanah Negara (AWAN), Soraya Salim berkata, tambahan pula dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini, nombor Talian Kasih 15999 serta talian bantuan kecemasan lain harus dihebahkan di semua saluran komunikasi, media dan ruang awam yang boleh diakses kanak-kanak.

Ini katanya, sama ada menerusi program kanak-kanak di televisyen, buku sekolah, pek makanan ringan dan media sosial supaya mereka tahu di mana boleh mendapatkan bantuan serta melaporkan segera jika didera atau berlaku penderaan.

“Kita juga gesa KPWKM perluaskan kempen mobilisasi komuniti mencegah keganasan dan penderaan seperti Inisiatif Komuniti Selamat Bersepadu, iaitu pendekatan yang holistik melibatkan pelbagai sektor dalam penglibatan komuniti dan pencegahan keganasan.

“Berdasarkan model ini, ahli komuniti harus diperkasakan untuk mengambil tanggungjawab yang lebih daripada hanya sekadar pemerhati.

“Komuniti setempat termasuk jiran tetangga, persatuan penduduk, kariah masjid dan surau misalnya harus diperkasakan sebagai barisan hadapan mencegah dan melaporkan penderaan kanak-kanak dan keganasan di rumah,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Beliau berkata demikian merujuk insiden seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun maut, dipercayai akibat didera ibu kandung dan bapa tirinya dalam kejadian di Taman Krubong Jaya di Melaka.

Katanya, beliau kesal dengan insiden ngeri itu, yang disifatkan sebagai manifestasi kepincangan institusi keluarga dan kegagalan sistem melindungi anak-anak, khususnya fungsi sokongan komuniti dalam mencegah penderaan.

Ujar Soraya, advokasi kepada masyarakat dan komuniti harus ditingkatkan serta diberikan maklumat untuk segera merujuk kes-kes dalam komuniti Pusat Sehenti Krisis (OSCC) dan sistem Suspected Child Abuse and Neglect (SCAN) di mana-mana hospital kerajaan.

Jelas beliau, usaha pemerkasaan komuniti setempat mencegah keganasan itu harus dilancarkan segera tanpa berlengah lagi di seluruh negara bagi membantu komuniti memahami keganasan dan penderaan.

“Di samping mengenalpasti punca dan faktor mempengaruhi, memahami betapa kritikal isu penderaan kanak-kanak dan keganasan di rumah serta peka akan persekitaran mereka.

“Dalam menangani krisis penderaan dan keganasan di rumah khasnya sepanjang tempoh PKP ini, KPWKM melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) wajar diberikan peruntukan tambahan kecemasan untuk menambah program perlindungan kanak-kanak, penyediaan tempat selamat untuk kanak-kanak mangsa dera, kaunseling dan pemulihan untuk mangsa dera.

“Kerajaan juga wajar memperuntukkan dana tambahan kepada JKM serta agensi berkaitan untuk menambah segera bilangan pelindung kanak-kanak agar nisbah pelindung JKM dengan bilangan kes iaitu 1:80 kes pada masa kini dapat ditingkatkan mencapai piawaian antarabangsa iaitu 1:15 hingga 35 kes,” katanya.

Beliau turut berpandangan, tindakan bersepadu kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan komuniti setempat dapat memastikan kewujudan komuniti yang selamat bagi melindungi kanak-kanak serta mengelakkan insiden tragis itu daripada berulang. – MalaysiaGazette