Dr Noraini Ahmad Higher Education UiTM Professor Dr Roshana Takim insults B40 student
Dr Noraini Ahmad

KUALA LUMPUR – Wanita UMNO Malaysia tidak menolak kemungkinan berlakunya kes penderaan kanak-kanak oleh ahli keluarga sendiri sedikit sebanyak dipengaruhi daripada tahap kesihatan mental akibat pandemik Covid-19.

Ketuanya, Datuk Noraini Ahmad berkata, berdasarkan statistik polis, kes penderaan kanak-kanak melibatkan ibu bapa merekodkan peningkatan sehingga 20 peratus ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula sejak Mac tahun lalu.

“Kes berlaku seperti ini menunjukkan tahap mental orang ramai semakin terganggu sehingga sanggup melakukan perkara yang tidak sepatutnya terhadap kanak-kanak.

“Marilah kita bersama-sama menggembleng tenaga agar perkara seperti ini dapat diatasi,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Beliau menzahirkan rasa hiba dan simpati atas kes kematian kanak-kanak berusia 7 tahun, Zubaidy Amir Qusyairi Abdul Malek akibat didera ibu kandung dan bapa tiri mangsa di rumah di Taman Krubong Jaya, Melaka.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang kelmarin itu, mangsa ditemukan lemas dalam tong air di rumahnya dengan terdapat beberapa kesan kecederaan di bahagian badan.

Menurut Noraini, nasib yang menimpa kanak-kanak itu tidak seharusnya berlaku, kerana keluarga yang sepatutnya menjadi tempat berlindung, namun malang ia berlaku sebaliknya.

“Wanita UMNO memandang serius kes seperti ini dan berharap kerajaan serta pihak yang berkaitan melihat tahap kesihatan mental orang ramai yang sedikit sebanyak terkesan akibat daripada pandemik Covid-19.

“Pada masa sama, kita mendesak pihak berwajib mengambil tindakan tegas dengan segera akan pelaku dihadapkan ke muka pengadilan, sekali gus menjadi pengajaran kepada orang ramai,” katanya. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.