Dr Luqman Abdullah

KUALA LUMPUR – Sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan esok, orang ramai terutama umat Islam disarankan agar memberi kerjasama kepada kerajaan dalam memutuskan rantaian wabak Covid-19.

Mufti Wilayah Persekutuan, Dr. Luqman Abdullah berkata, antara langkah berjaga-jaga yang perlu dilakukan ialah mengawal penjarakan fizikal, memakai pelitup muka, menggunakan aplikasi pengimbas MySejahtera serta pematuhan sepenuhnya terhadap SOP yang ditetapkan.

“Pada sambutan Hari Wilayah Persekutuan kali ini, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (PMWP) mengambil kesempatan menyeru kepada seluruh masyarakat khususnya yang berada di Wilayah Persekutuan mencontohi sikap terpuji pemimpin negara sanggup mengorbankan hak dan kepentingan mereka demi kebaikan bersama.

“Dalam usaha kita memutuskan rantaian Covid-19 dalam negara, marilah kita bersama mengerah keringat dan tenaga bagi membantu kerajaan terutamanya dengan mengambil langkah berjaga-jaga dengan mematuhi sepenuhnya SOP.

“Bertepatan “Dasar Manhaj Rabbani” diperkenalkan kerajaan baru-baru ini, jadikanlah setiap titik peluh usaha kita dalam memutuskan rantaian Covid-19 sebagai salah satu bentuk ibadah yang diredai Allah,” katanya menerusi kenyataan kepada media, hari ini.

Slogan “Wilayah Persekutuan, Wilayah Prihatin” diangkat sebagai tema sambutan kali ini yang harus dihayati semua pihak bagi menyuburkan nilai keprihatinan terhadap krisis yang sedang melanda negara serta memupuk semangat kerjasama antara satu sama lain dalam mengharunginya.

Menurut Dr. Luqman, dengan penghayatan sambutan itu, kerajaan akan berjaya membendung penularan wabak Covid-19 secara efisen, sekali gus meletakkan negara pada kedudukan terbaik di persada dunia.

Beliau turut mengajak masyarakat di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan untuk sama-sama menghayati semula sejarah penubuhan wilayah itu yang terhasil daripada semangat kerjasama tinggi ditonjolkan pemimpin utama negara waktu itu.

“Jika diimbas kembali catatan sejarah pada tahun 1974, Sultan Selangor ketika itu, Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah telah menitahkan perkenan baginda untuk menyerahkan sebahagian daripada wilayah Selangor kepada kerajaan Persekutuan.

“Dengan penyerahan itu, wilayah Kuala Lumpur kemudiannya telah diangkat menjadi pusat pentadbiran utama, sekali gus menjadi ibu negara Malaysia.

“Jelas sekali, semangat kerjasama dan nilai pengorbanan yang tinggi dizahirkan oleh Sultan Selangor ini telah mendatangkan pelbagai manfaat dan kebaikannya kepada rakyat serta negara,” katanya. – MalaysiaGazette