GEORGE TOWN – Walaupun pelbagai operasi dan tangkapan dibuat bagi membendung kegiatan penyeludupan daun ketum ke negara jiran, namun aktiviti itu dilihat masih aktif.
Kegiatan itu terbongkar selepas Pasukan Gerakan Am (PGA) menemui satu lokasi penyimpanan daun ketum di sebuah kebun getah di Wang Kelian, Perlis menerusi Ops Benteng semalam.
Komander Briged Utara PGA, Senior Asisten Komisioner Abdul Ghani Mohamad Ji berkata, hasil pemeriksaan pihaknya menemui longgokkan daun ketum yang siap dibalut dengan plastik lut sinar seberat 300 kilogram.
“Hasil pemeriksaan mendapati sindiket memasang khemah kanvas yang direka sendiri untuk mengaburi mata pihak berkuasa.
“Kita lakukan intipan lebih dua jam untuk melihat pergerakkan sindiket, namun tiada siapa datang untuk mengambil daun ketum tersebut,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.
Menurutnya lagi, secara keseluruhan sebanyak 10 guni berisi 300 kg daun ketum bernilai RM9,000 dirampas.
“Barang rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Padang Besar untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952,” ujarnya.
Pada 24 November lalu, seorang anggota PGA maut manakala seorang lagi rakan setugasnya cedera parah ditembak semasa bertugas di Pos Kawalan Sempadan Malaysia -Thailand di Padang Besar, Perlis.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador menegaskan tembakan itu dilepaskan sekumpulan sindiket ketika cuba menyeludup daun ketum ke negara jiran. – MalaysiaGazette