KUALA LUMPUR – Rampasan kuasa oleh tentera di Myanmar menjerumuskan negara itu kepada lembah kediktatoran, kata Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut beliau, semua pihak sepatutnya akur dengan mandat rakyat di negara itu menerusi keputusan pilihan raya yang telah berlangsung yang menyaksikan kemenangan berpihak kepada pemimpin Liga Nasional Demokrasi (NLD), Suu Kyi.
“Perkembangan terkini di Myanmar sangat merungsingkan tatkala pihak tenteranya seolah-olah sedang menggerakkan kudeta atau rampasan kuasa yang dilihat akan menginjak suara rakyat dan demokrasi.
“Semua pihak harus menjunjung perlembagaan, mandat rakyat serta akur dengan keputusan pilihanraya. Meski terdapat banyak kecurangan serta pencabulan hak asasi manusia yang melibatkan warga dan masyarakat Rohingnya oleh rejim yang lalu, demokrasi di Myanmar masih di peringkat permulaan serta yang punya masa depan.
“Tindakan pihak tentera ini hanya akan membalikkan aspirasi rakyat Myanmar, dan menjerumuskan negara itu terus ke lembah kediktatoran,” katanya menerusi kenyataan.
Justeru Anwar menggesa pemimpin dunia dan ASEAN bersatu dan bersuara untuk mendesak pembebasan pemimpin-pemimpin negara berkenaan.
Tambah beliau, tentera Myanmar sepatutnya mempertahankan aspirasi demokratik rakyat negara itu
“Pemimpin-pemimpin dunia dan ASEAN harus menggembeleng suara dan menggesa untuk pembebasan segera pemimpin-pemimpin Myanmar dan mesti menegakkan negara hukum.
“Setelah berjuang sekian lama, rakyat Myanmar berhasil untuk memungkinkan sebuah perlembagaan dan hak terkait pilihan raya,” katanya lagi.
Tentera Myanmar telah menguasai negara ini selepas menahan pemimpin de-facto, Aung San Suu Kyi dan beberapa ahli politik lain pada awal pagi tadi.
Televisyen tentera menyatakan bahawa darurat telah diisytiharkan selama satu tahun dan kuasa dipindahkan.
Untuk rekod, NLD memenangi 83 peratus kerusi yang dipertandingkan pada pilihan raya yang diadakan 8 November lalu. – MalaysiaGazette