YANGON – Tentera Myanmar telah menguasai negara ini selepas menahan pemimpin de-facto, Aung San Suu Kyi dan beberapa ahli politik lain pada awal pagi tadi.
Televisyen tentera menyatakan bahawa darurat telah diisytiharkan selama satu tahun dan kuasa dipindahkan.
Rampasan kuasa itu berlaku setelah berlaku ketegangan antara kerajaan awam dan tentera susulan undi pilihan raya dipertikaikan.
Myanmar yang dikenali sebagai Burma, diperintah oleh tentera sehingga reformasi demokrasi bermula pada tahun 2011.
Tentera memaklumkan bahawa mereka menyerahkan kekuasaan kepada Ketua Komandan, Min Aung Hlaing kerana berlaku “penipuan pilihan raya”.
Askar-askar berada di jalan-jalan di ibu kota, Naypyitaw dan Yangon.
Pada pilihan raya November lalu, pemimpin Liga Nasional Demokrasi (NLD) Suu Kyi memenangi banyak kerusi untuk membentuk kerajaan.
NLD memenangi 83% kerusi yang ditandingkan pada pilihan raya 8 November lalu, yang dilihat oleh banyak pihak sebagai referendum kerajaan awam Suu Kyi.
Ia adalah pilihan raya kedua sejak berakhirnya pemerintahan tentera pada tahun 2011.
Tetapi tentera telah membantah keputusan pilihan raya tersebut dan mengemukakan bantahan di Mahkamah Agung terhadap Presiden dan Kstua Suruhanjaya Pilihan Raya Myanmar. – MalaysiaGazette