Ketua Pengarah Kastam, Datuk Seri Abdul Latif Abdul Kadir bercakap pada sidang media mengenai penyeludupan rokok di Pejabat Jabatan Kastam Diraja Malaysia Bahagian Penguatkuasaan Dengkil, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 25 NOVEMBER 2020.

KUALA LUMPUR – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berjaya mengutip hasil sebanyak RM38.666 bilion pada tahun lalu berbanding unjuran yang ditetapkan iaitu berjumlah RM36.305 bilion dengan pencapaian sebanyak 106.5 %.

Selain itu, ia turut berjaya menutup ketirisan hasil negara yang dianggarkan sebanyak RM5.381 billion pada tahun lalu melepasi sasaran yang telah ditetapkan sebanyak RM2.963 billion.

Ketirisan hasil ini terdiri daripada cukai daripada aktiviti rampasan, hasil-hasil lain seperti cukai yang dipungut
semula, penyelesaian Akaun Belum Terima (ABT) meliputi kutipan, remisi, pembatalan serta pelarasan dan bil tuntutan yang dikeluarkan oleh Bahagian Pematuhan, Jabatan Kastam Diraja Malaysia.

Ketua Pengarah Kastam Malaysia, Datuk Seri Abdul Latif Abdul Kadir berkata, pencapaian kes-kes melibatkan rokok dan minuman keras (RMK) adalah sangat memberangsangkan.

Kes rokok bagi tahun 2020 mencatatkan sebanyak 2,104 kes melibatkan anggaran jumlah kuantiti sebanyak 894.463 juta batang rokok dengan nilai mencecah RM74.969 juta dan jumlah cukai/duti terlibat sebanyak RM661.902 juta.

”Jika dibandingkan dengan tahun 2019, ini merupakan peningkatan sebanyak 84.41 peratus (%) dari segi bilangan batang rokok yang dirampas, 83.41 peratus (%) peningkatan dalam nilai rampasan rokok dan peningkatan sebanyak 84.41 peratus (%) bagi duti serta cukai terlibat.

”Bagi kes melibatkan minuman keras dan bir pula, JKDM berjaya memperoleh sebanyak 738 kes bagi tahun 2020. Anggaran jumlah rampasan adalah sebanyak 1.739 juta liter dengan nilai rampasan dianggarkan sebanyak RM22.366 juta serta duti/ cukai yang terlibat sebanyak RM45.243 juta,” katanya sempena sambutan Hari Kastam Sedunia kali ke-39 tahun 2021 hari ini.

Bagi kes-kes yang melibatkan Convention on International Trade in Endangered Species of Wild Fauna and Flora (CITES) bagi tahun 2020, red sandalwood atau kayu merah adalah antara komoditi rampasan utama dan terbesar diperolehi oleh JKDM.

Sepanjang tahun 2020, sebanyak 24,786 kilogram (kg) red sandalwood dengan nilai yang dianggarkan berjumlah RM7.8 juta telah dirampas.

Sepanjang tahun 2020 juga, JKDM telah berjaya merampas sejumlah 6,610kg sisik tenggiling dengan nilai rampasan sebanyak RM86.6 juta.

Menurutnya, jabatan itu turut berjaya mengutip hasil sebanyak RM38.666 bilion pada tahun lalu berbanding unjuran yang ditetapkan iaitu berjumlah RM36.305 bilion dengan pencapaian sebanyak 106.5 %.

Abdul Latif meminta orang ramai untuk membantu JKDM memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah, kenderaan dan lain-lain serta dinasihatkan tidak membabitkan diri dengan aktiviti tersebut.

Tegas beliau, penyeludupan bukan sahaja merugikan negara daripada segi kehilangan hasil, malah ianya turut mendatangkan ancaman kepada keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat.

Maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan boleh disalurkan dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau Pejabat Kastam yang terdekat di semua negeri dan JKDM juga memberi jaminan bahawa identiti setiap pemberi maklumat adalah dirahsiakan. – MalaysiaGazette