SOP PKP 2.0 membenarkan perniagaan kedai makanan dan minuman beroperasi sehingga jam 8 malam sahaja.

PENGALAMAN  pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 dan 2.0 sewajarnya memberikan gambaran menyeluruh tentang cara terbaik untuk memutuskan rantaian penularan pandemik Covid-19 di negara kita.

Kita sudah ada pengalaman melaksanakan PKP penuh pada tahun lepas dan sekarang kita sudah ada pengalaman PKP 2.0 yang lebih fleksibel dengan pelbagai kelonggaran bagi mengimbangi keperluan krisis kesihatan dan juga ekonomi.

Dalam pada itu kita juga sudah ada pengalaman melaksanakan PKP Pemulihan (PKPP), PKP Bersyarat (PKPB) serta PKP Diperketatkan (PKPD).

Justeru tidak sepatutnya timbul lagi soal kenapa masih ada yang ingkar arahan PKP serta leka mematuhi segala Prosedur Operasi Standard (SOP) sehingga kes harian terus naik mendadak. Di mana silapnya?

Hakikatnya setelah PKP 1.0, 2.0, PKPP, PKPB dan PKPD, kes tetap terus meningkat dan membimbangkan. Jadi sudah tiba masanya kita melihat semula SOP yang sedang berkuat kuasa.

Kita perlu cari punca yang menyebabkan kes harian terus meningkat secara mendadak.

Dalam konteks ini penulis melihat semuanya terarah kepada SOP, baik dari segi pematuhan, penguat kuasaan mahupun kelonggaran yang diberikan.

Kita perlu akui pelaksanaan PKP 2.0 yang lebih fleksibel menyebabkan anggota masyarakat sudah semakin leka dan alpa untuk mematuhi SOP yang ditetapkan.

Rakyat melihat kelonggaran yang diberikan terutamanya pengoperasian hampir semua sektor ekonomi dan sosial sebagai lesen besar untuk mereka lebih santai dan tidak terlalu
terikat dengan SOP.

Hal ini demikian kerana dengan kelonggaran seperti ini, ramai yang beranggapan kita sudah berjaya mengawal penularan wabak ini sekali gus mereka bebas melakukan aktiviti harian seperti dulu serta lupa segala amalan norma baharu seperti penjarakan fizikal dan pemakaian pelitup muka yang sepatutnya terus dipraktikkan.

Buktinya sangat jelas apabila setiap hari bilangan anggota masyarakat yang dikompaun kerana ingkar arahan PKP terus meningkat, bilangan kenderaan di atas jalan raya terutamanya yang sengaja mengambil kesempatan untuk keluar rumah
walaupun tiada urusan penting juga terus meningkat, dan pengamatan penulis sendiri di beberapa kawasan umum dan tumpuan orang ramai kelihatan aktiviti harian berjalan seperti seolah-olah tiada apa yang perlu dirisaukan tentang serangan
wabak ini. Kita memahami keluh kesah anggota masyarakat yang perlu terus bekerja, berniaga dan mencari rezeki namun itu bukan alasan untuk kita leka dan alpa dalam mematuhi SOP yang ditetapkan.

Dalam pada itu operasi penguat kuasaan juga wajar diperhebatkan lagi. Mengambilkira situasi anggota masyarakat dan pihak industri yang mula memandang remeh terhadap pematuhan SOP, eloklah pihak berkuasa melipatgandakan operasi
penguat kuasaan. Pihak polis, tentera dan anggota Rela perlu terus melaksanakan operasi pemantauan dan penguat kuasaan secara lebih agresif supaya mana-mana pihak terutamanya pihak industri yang menyumbang kepada kenaikan kes kluster
tempat kerja dapat dikenakan tindakan yang sewajarnya.

Aktiviti rondaan dan pemantauan secara berkala dan berterusan wajar diteliti dan terus ditambahbaik.

Dalam konteks ini penulis melihat semuanya terarah kepada SOP, baik dari segi pematuhan, penguat kuasaan mahupun kelonggaran yang diberikan. Kita perlu akui pelaksanaan PKP 2.0 yang lebih fleksibel menyebabkan anggota masyarakat sudah
semakin leka dan alpa untuk mematuhi SOP yang ditetapkan.

Kadar kompaun yang ada juga wajar diteliti semula kerana didapati terlalu rendah terutamanya kepada pihak industri yang menjadi penyumbang besar kenaikan kes melalui kluster tempat kerja. Gunakan Ordinan Darurat bagi meningkatkan kadar
kompuan yang sewajarnya dikelaskan atau diasingkan mengikut kategori seperti, kompaun terhadap individu dan syarikat serta kompuan bagi kesalahan pertama dan kesalahan yang berulang.

Hakikatnya, kadar kompaun sebanyak RM1,000 yang dikenakan ketika ini dilihat belum mampu menggerunkan anggota masyarakat kita yang degil.

Dalam hal ini kita boleh rujuk amalan di negara luar yang mengenakan hukuman denda yang lebih tinggi seperti di Singapura, Indonesia dan juga Korea Selatan.

Ringkasnya, kita tidak boleh berkompromi lagi dengan individu dan industri yang terus degil dan melanggar SOP sesuka hati tanpa mempedulikan kesannya kepada orang lain.

Pada dasarnya kita mahu kerajaan memperketatkan lagi SOP yang ada. Keadaan dilihat semakin meruncing dengan peningkatan kes harian yang membimbangkan, serta berlaku penambahan dalam kluster baharu terutamanya kluster tempat kerja. Justeru sebelum semuanya terlambat dan semakin sukar dikawal, elok kita bertindak dengan segera. Tuntasnya, apapun keputusan kerajaan tentang pelaksanaan PKP 2.0, mulai 4 Februari ini kita mahu SOP yang lebih ketat dilaksanakan sebagai
manifestasi untuk mengekang rantaian penularan wabak ini.

Penulis adalah penganalisis isu-isu semasa

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast