Kerajaan Selangor  mengurangkan kadar Duti Hiburan daripada 25 peratus kepada lima peratus ke atas setiap bayaran masuk ke taman tema di negeri itu selama lima tahun.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Kerajaan Selangor  mengurangkan kadar Duti Hiburan daripada 25 peratus kepada lima peratus ke atas setiap bayaran masuk ke taman tema di negeri itu selama lima tahun.

Pengurangan kadar duti berkenaan menurut Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkuatkuasa 1 Januari 2022 sehingga 31 Disember 2026.

Jelas beliau, pelaksanaannya selepas mengambil kira impak yang dialami oleh pengusaha taman-taman tema di negeri itu sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Pengusaha taman tema merupakan salah satu pemain utama dalam merancakkan industri pelancongan di Negeri Selangor. Perkembangan industri pelancongan akan dapat meningkatkan taraf hidup masyarakat setempat terutamanya generasi muda melalui peluang pekerjaan.

“Perkembangan industri pelancongan berbentuk Taman Tema akan mempunyai kesan berganda (spill over effect) ke sektor pelancongan yang lain seperti agensi pelancongan, perhotelan, pengangkutan dan sebagainya,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Kata Amirudin, dianggarkan kerajaan negeri akan kehilangan RM21.04 juta setahun menerusi pengurangan duti hiburan untuk taman tema.

Kerajaan Selangor ujarnya sebelum ini melaksanakan pengecualian penuh ke atas duti hiburan bagi bayaran masuk ke Taman Tema di Selangor yang telah dikuatkuasakan 18 Mac 2020 sehingga 31 Disember 2021.

Pelaksanaan tersebut ujar Amirudin, dijangka memberi anggaran impak kewangan sebanyak RM26.35 juta kepada kerajaan negeri berkenaan.

Beliau berharap agar dengan inisiatif ini, taman-taman tema di negeri itu dapat meneruskan perniagaan dalam masa yang sama menjamin nasib para pekerjanya.

“Diharapkan kelangsungan industri dan perniagaan akan lebih terjamin serta nasib para pekerja, terutamanya dalam sektor pelancongan, akan lebih terbela dengan kelonggaran yang diberikan ini.

“Kerajaan negeri akan terus mencari penyelesaian terbaik bagi membantu meringankan kesusahan rakyat saat yang getir ini,” katanya lagi.-MalaysiaGazette