Presiden Ikhlas, Datuk Mohd Ridzuan Abdullah bersama peniaga-peniaga kecil Puchong Permai menunjukkan surat kompaun MBSJ di hadapan Balai Polis Bukit Puchong.

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil & Sederhana Malaysia (IKHLAS) hari ini membuat laporan polis terhadap Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) yang didakwa mengeluarkan kompaun kepada peniaga-peniaga kecil Puchong Permai sebelum rundingan diadakan.

Presidennya, Datuk Mohd Ridzuan Abdullah berkata, bukan sahaja peniaga terbabit dikompaun sehingga RM250, bahkan Datuk Bandar Subang Jaya, Noraini Roslan didakwa enggan menemui pihaknya atas nasihat pihak polis.

“Polis pun sudah nasihat jumpa Datuk Bandar selesaikan masalah ini, kita nak hantar surat, dia tak nak jumpa, dia lebih berminat jumpa kontraktor ini.

“Sebelum ini Menteri Besar sudah maklum supaya bincang, selesaikan masalah ini. Kita lihat pengarah penguatkuasa, saya tak faham dengan dia ini.

“Dia arahkan orang bawahan ini pergi saman, tiap-tiap minggu pergi saman, apa masalah dia sebenarnya,” katanya pada sidang media di hadapan Balai Polis Bukit Puchong, hari ini.

Pada 28 Disember lalu, IKHLAS berjaya menghalang penguatkuasa MBSJ daripada merobohkan gerai milik 43 peniaga kecil di Puchong Permai setelah rundingan dilakukan melibatkan pihak polis dan pengarah penguatkuasa pihak berkuasa itu.

Pihak polis yang menjadi orang tengah itu juga memberi tempoh tujuh hari kepada IKHLAS bersama 43 peniaga kecil terbabit untuk mengadakan rundingan dengan Datuk Bandar Subang Jaya.

Ia bagi membincangkan mengenai perobohan gerai dan penempatan semula 43 peniaga kecil terbabit ke tapak gerai baharu yang didakwa terlalu kecil dan tidak menyediakan kemudahan asas seperti bekalan elektrik dan air.

Dalam pada itu, Mohd Ridzuan juga kesal dengan sikap segelintir pegawai penguatkuasa MBSJ yang didakwa bersikap biadab dan cuba mengugut beberapa peniaga yang enggan berpindah ke ruang perniagaan baharu.

“Sepatutnya PBT adalah paling rapat dengan rakyat, punca rakyat benci kerajaan adalah disebabkan oleh sikap PBT ini, perangai buruk, ada yang datang macam gangster.

“Dengan peniaga-peniaga dia tekan, marah dan sebagainya, ini yang berlaku termasuk ugut. Beginikah seorang penguatkuasa, penjawat awam? Perlukah sikap begini dengan rakyat,” katanya.

Tambah beliau, setakat ini sebanyak 10 kompaun dan saman telah dikeluarkan MBSJ terhadap beberapa peniaga kecil di Puchong Permai serendah RM80 sehingga RM250 setiap satu.

“Bukan senang nak cari makan waktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sekarang ini. Jadi hari ini kita buat satu laporan polis terhadap Pengarah Penguatkuasa MBSJ, sebab orang tengah susah tengah berniaga.

“Satu peringkat kita tak nak peniaga serang mereka, punca wujud masalah MBSJ, bukan peniaga.

“Setakat ini ada 10 saman (kompaun), ada yang RM80, ada RM250 makin lama makin meningkat, tiap-tiap minggu mesti ada kompaun,” katanya.

Beliau turut memberi tempoh sehingga akhir Februari ini keapda MBSJ untuk menyelesaikan masalah peniaga-peniaga kecil terbabit atau berdepan dengan demostrasi besar-besaran.

“Jadi saya harap isu ini dapat selesai bulan ini. Kalau tak selesai selepas PKP, kita berhimpun di depan MBSJ kita desak Datuk Bandar letak jawatan.

“Dia merosakkan imej Kerajaan Negeri Selangor, kenapa seorang Datuk Bandar bersikap macam ini, susahkan semua orang, termasuk polis pun dia susahkan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast