Senator Ras Adiba Radzi. Foto FAREEZ FADZIL.

KUALA LUMPUR – Bekas personaliti televisyen, Senator Ras Adiba Mohd Radzi bersyukur apabila dianugerahkan Darjah Kebesaran Panglima Mahkota Wilayah (PMW) yang membawa gelaran Datuk.

Ras Adiba, 52, menerima PMW daripada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2021 pada Isnin lalu.

“Syukur alhamdulillah. Segala puji-pujian buat Yang Esa,” ucapnya dalam satu kiriman di akaun Instagram miliknya.

Menerusi entri tersebut Ras memuat naik ucapan tahniah daripada pengurusan dan warga Berita Nasional Malaysia (BERNAMA).

Sementara itu, Ahli Dewan Negara dan atlet paralimpik negara itu menyifatkan penganugerahan itu sebagai satu penghormatan terbesar buat dirinya serta komuniti orang kurang upaya (OKU) di negara ini.

“Pengurniaan ini membuatkan saya lebih bersemangat untuk terus berjuang, seterusnya memperkasakan komuniti OKU dan golongan memerlukan. Ia satu anugerah yang amat saya hargai kerana ini adalah penghargaan buat komuniti OKU dan ini adalah rezeki untuk semua.

“Saya bersyukur kepada ALLAH SWT dan terima kasih diucapkan kepada semua terutama keluarga dan sahabat yang sentiasa menyokong dan mendoakan saya,” katanya kepada BERNAMA.

Ras Adiba dilantik sebagai Pengerusi Bernama untuk tempoh tiga tahun pada 23 November lepas.

Selain menjadi wanita pertama yang memegang jawatan itu, bekas personaliti televisyen itu juga mengetuai badan bukan kerajaan yang memperjuangkan hak OKU, iaitu OKU Sentral. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast