KUALA LUMPUR – Parti politik, MCA hari ini menggesa agar institusi kewangan supaya meningkatkan ciri keselamatan perkhidmatan atas talian.

Ketua Pemuda MCA, Datuk Nicole Wong berkata, institusi kewangan turut digesa menjalin kerjasama yang lebih erat bersama pihak polis dan syarikat telekomunikasi, seiring dengan usaha kerajaan untuk membanteras jenayah penipuan (scam).

“Scammer biasanya mensasar pelanggan bank, maka wajar pihak bank meningkatkan langkah keselamatan kepada pelanggan-pelanggan mereka.

“Pihak bank harus meningkatkan program pendidikan keselamatan siber dan pendedahan terhadap taktik atau helah scammer kepada pelanggan atau pengguna secara berterusan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Nicole berkata, selain meningkatkan ciri-ciri keselamatan, pihak bank juga boleh mengambil langkah untuk menapis SPAM (SPAM filter) yang berupaya mengesan virus atau pengirim emel kosong yang dicurigai.

Nicole Wong

Malah katanya, ciri-ciri keselamatan atas talian bank harus sentiasa dikemaskini termasuk data dan tandatangan pelanggan.

“Dasar atau polisi keselamatan bank harus dikembangkan secara menyeluruh dan tidak hanya terhad kepada penggunaan kata laluan yang mempunyai tempoh terhad atau rumit,” katanya.

Nicole menyulas mengenai kejadian wartawan MalaysiaGazette, Azizul Osman yang menjadi mangsa kepada laman web bank palsu dan transaksi duit yang besar telah berlaku selepas penipuan memancing data (phishing scam) pada Sabtu lalu.

Wartawan berusia 38 tahun itu kerugian RM3,600 selepas tersilap melayari laman sesawang bank palsu menggunakan komputer riba.

MCA dalam pada itu mencadangkan pihak bank supaya dapat bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) serta Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) untuk mengadakan penapis laman web (web filter) bagi menyekat laman web berniat buruk.

“Kami turut mencadangkan kerajaan supaya menubuhkan satu jawatankuasa yang terdiri daripada wakil-wakil dari institusi kewangan, polis, SKMM, JSJK dan syarikat telekomunikasi untuk berkongsi maklumat dan mengambil tindakan yang cepat serta berkesan untuk membanteras jenayah penipuan siber,” kata Nicole lagi. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Yang paling penting syarikat telekominikasi kena tingkat keselamatan cyber, supaya telefon pelangan tidak boleh diklonkan, kerana semua penghataran TAC melalui nombor telefon

Comments are closed.