Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

KUALA LUMPUR –  Bagi memudahkan penyelidik dan pemain industri mendapatkan maklumat mengenai peralatan dan teknologi – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) hari ini melancarkan portal Rangkaian Makmal Nanoteknologi Kebangsaan (RMNK).

Penubuhan portal itu menurut menterinya Khairy Jamaluddin Abu Bakar merupakan kerjasama antara semua pemegang taruh iaitu iaitu universiti awam, swasta, institut penyelidikan dan pemain industri bagi memacu ekosistem nanoteknologi negara secara lebih progresif dan dinamik.

“Dengan adanya rangkaian ini, penggunaan sumber dengan lebih efisien dapat dipertingkatkan dan kos penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta pengaliran wang ke luar negara dapat
dikurangkan,” katanya ketika melancarkan RMNK yang disiarkan menerusi siaran langsung di Facebook MOSTI hari ini.

Untuk rekod, sebelum ini, para penyelidik dan pemain industri lazimnya menghantar sampel penyelidikan untuk ciri pengukuran nanoteknologi ke luar negara kerana kekurangan maklumat berkenaan sumber dan kemudahan yang disediakan dalam negara.

Tambah Khairy, portal RMNK juga membolehkan mereka mendapatkan bantuan konsultasi  teknikal serta penggunaan peralatan bagi menjalankan kajian berasaskan nanoteknologi selain menggunakan sumber dengan lebih efisien.

Justeru jelasnya, dengan adanya portal berkenaan, pengaliran wang ke luar negara untuk tujuan R&D dapat dikurangkan.

Kewujudan portal itu juga seiring dengan matlamat Dasar Sains, Teknologi, Inovasi (DSTIN) 2021-2030 untuk mencapai 3.5 peratus Gross Domestic Expenditure on R&D (GERD) kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang tempoh sembilan tahun lagi.

Beliau turut berharap  agar portal RMNK akan menggalakkan lebih ramai penyelidik dan pemain industri untuk terlibat di dalam Malaysia Grand Challenge.

Portal RMNK itu boleh dilayari di pautan www.mosti.gov.my/rmnk.- MalaysiaGazette