Tommy Thomas
Tommy Thomas

KUALA LUMPUR – Polis Selangor telah memulakan siasatan ke atas Tan Sri Tommy Thomas atas dakwaan memfitnah menerusi penulisan dalam bukunya.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor, Senior Asisten Komisioner Datuk Fadzil Ahmat, polis telah membuka satu kertas siasatan ke atas bekas Peguam Negara itu.

Menurut beliau, pasukan JSJ Selangor akan memanggil Tommy Thomas secepat mungkin untuk merakam percakapan.

“Saya sahkan satu laporan polis telah diterima di Cyberjaya semalam berkaitan penerbitan buku berjudul ‘My Story: Justice in the Wilderness.

“Ekoran laporan polis itu kita telah membuka kertas siasatan ke atas Tommy Thomas berkaitan perkara itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Fadzil, polis Selangor telah memulakan siasatan ke atas Tommy di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana memfitnah.

Tambah beliau, polis hanya menerima satu laporan polis setakat ini di negeri tersebut.

Semalam, bekas Pegawai Kanan, Jabatan Peguam Negara, Datuk Mohamad Hanafiah Zakaria membuat satu laporan polis di Balai Polis Cyberjaya pada jam 8 malam.

Dalam laporan itu beliau mendesak polis menjalankan siasatan ke atas Tommy berkenaan kandungan bukut tersebut.

Mohamad Hanafiah dalam laporan polis itu menjelaskan bahawa kandungan halaman 248 telah memfitnah dan memburukkan imejnya sebagai penjawat awam kanan ketika itu.

“Petikan ini merujuk kepada penyediaan dan persiapan pasukan pendakwaan dalam kes pendakwa raya lawan Datuk Seri Najib (Tun) Razak (kes SRC International) di mana ketika itu pada tahun 2018 saya merupakan Ketua Bahagian Perbicaraan dan Rayuan, AGC,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

Comments are closed.