Friday, March 29, 2024
Home Utama Pasar malam, kedai gunting rambut, pusat cuci kereta dibenar beroperasi esok

Pasar malam, kedai gunting rambut, pusat cuci kereta dibenar beroperasi esok

Pasar malam dibenar beroperasi mulai esok. - Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Kerajaan membenarkan tiga sektor perniagaan iaitu pasar malam, kedai gunting rambut dan pusat cuci kereta beroperasi semula dengan pelaksanaan prosedur standard operasi (SOP) lebih ketat bermula esok

Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan itu dibuat selepas pihaknya mendapati tidak terdapat kluster baharu daripada sektor tersebut dan perniagaan boleh dibuka sehingga pukul 10 malam.

Beliau bagaimanapun memberi amaran bahawa sektor itu berdepan penutupan serta-merta sekiranya wujud kes baharu atau pelanggaran SOP.

“Setelah berbincang dan melihat bahawa tiada kluster-kluster baharu yang dihasilkan oleh ketiga-tiga aktiviti ini.
“Maka mesyuarat bersetuju untuk meluluskan pasar malam dibenarkan beroperasi dari pukul 4 petang hingga 10 malam dengan mematuhi SOP yang ketat, antara jarak gerai dan gerai satu meter, laluan keluar masuk berbeza dan kawalan yang ketat oleh RELA

“Hanya gunting rambut dibenarkan dan perkhidmatan lain seperti rawatan muka masih lagi tidak dibenarkan. Itu pun wajib memakai pelindung muka dan apron yang boleh dipakai buang, memakai sarung tangan dan mencuci gunting dengan air panas.

“Namun saya ingin mengingatkan mana-mana sektor termasuk yang telah dibenarkan operasi sebelum ini, jika ada kes baharu atau berlakunya pelanggaran SOP, premis mereka akan ditutup serta-merta.

“Malah jika ada laporan pasar tani melanggar SOP, kita akan tutup. Kali ini kita lebih tegas,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Mengenai jumlah pengunjung ke pasar malam sama ada akan dihadkan, Ismail Sabri berkata, perkara itu boleh dibincangkan antara Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dengan penganjur pasar malam.

Pada masa sama, beliau memberitahu, Pasukan Petugas Khas mempunyai kuasa untuk memasuki pejabat kerajaan dan swasta untuk membuat pemeriksaan sama ada majikan mematuhi kehadiran 30 peratus kakitangan.

“Sektor perkilangan memang dibenarkan pihak PBT buat pemeriksaan namun dalam pejabat, ada yang tidak benarkan orang luar masuk dalam pejabat mereka.

“Namun dari Pasukan Petugas Khas boleh masuk jika perlu. Saya percaya pejabat swasta atau kerajaan ada SOP dan tidak perlu ada pasukan petugas khas operasi,” katanya. – MalaysiaGazette