Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berjalan keluar selepas membuat laporan polis mengenai Buku Memoir Tommy Thomas di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 05 FEBRUARI 2021.

KUALA LUMPUR – Bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas tidak ada integriti dan buku tulisannya didakwa telah memesongkan fakta sejarah.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, pemesongan fakta itu boleh dilihat pada bab 6 dan 7 buku memoir My Story: Justice In The Wilderness itu.

Selain itu, Tommy juga didakwa menyatakan Allahyarham Tun Abdul Razak selaku Perdana Menteri Malaysia yang kedua terlibat menyebabkan rusuhan kaum peristiwa berdarah 13 Mei 1969

Beliau menyatakan bahawa seolah-olah Tun Abdul Razak mengadakan kudeta kononnya kerana allahyarham mengetahui beliau berpenyakit leukimia maka seolah-olah beliau cuba merampas kuasa daripada Tunku Abdul Rahman.

“Jadi perkara-perkara begini adalah tidak benar dari segi fakta sejarah dan kita tahu bahawa kertas putih telah dibentangkan mengenai peristiwa berkenaan dan ada juga kenyataan seolah-olah kaum Melayu yang mencetuskan peristiwa 13 Mei.

“Jadi perkara-perkara ini pada pandangan peguam-peguam UMNO ianya melanggar peruntukan di bawah Seksyen 3 dan 4 Akta Hasutan 1948 iaitu percubaan untuk mendatangkan kebencian atau penghinaan terhadap pentadbiran keadilan di Malaysia, mengembangkan perasaan niat jahat dan permusuhan antara masyarakat. Kami berpandangan ini adalah satu kesalahan seiring dengan Seksyen 500 Kanun Keseksaan,” katanya.

Beliau sebelum itu membuat laporan polis di Ibupejabat Polis Dang Wangi di sini petang tadi.

Kedua, Ahmad mendakwa dalam keseluruhan buku berkenaan ada komen-komen yang menyentuh mengenai prosedur, pendakwaan, kertas-kertas siasatan yang dianggap maklumat-maklumat itu dilindungi di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972 dan tidak seharusnya di dedahkan kepada masyarakat umum.

“Pandangan kami penulisan itu adalah tidak sesuai dan ianya melanggar Akta Rahsia Rasmi 1972,” ujarnya sambil menyatakan ia juga pandangan peguam dari parti.

Ketiganya, tambah Ahmad, pandangan Tommy terhadap timbalan-timbalan pendakwaraya dan juga keseluruhan Jabatan Peguam Negara juga mengundang persepsi negatif.

Atas sebab-sebab tiga perkara utama itu Ahmad membuat laporan polis agar pihak polis menyiasat Tommy Thomas di bawah Seksyen 3 dan 4 (1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 8 Akta Rahsia Rasmi 1972 dan Seksywn 500 Kanun Keseksaan.