Ketua Pegawai Operasi YADIM, Tuan Kamarul Arief (tengah) dan Penyelaras YADIM Pulau Pinang, Mohd Afifi (kiri) menyampaikan sumbangan kepada Magdalena di rumahnya di Jalan Lenggong, Jelutong.

GEORGE TOWN – Kurang 24 jam kisah seorang wanita hamil selongkar tong sampah untuk sara hidup dilaporkan MalaysiaGazette, Yayasan Dakwah Islamiah (YADIM) tampil bagi menyampaikan bantuan awal buat keluarga berkenaan.

Selain itu, kisah hidup Magdalena Herkules Manulu, 39, turut mendapat perhatian Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri yang turut mengirimkan bantuan wang tunai kepada pihak YADIM untuk disampaikan kepada wanita warga Indonesia itu.

Ketua Pegawai Eksekutif YADIM, Tuan Kamarul Arief Tuan Soh berkata, pihaknya rasa terpanggil apabila mendapat berita berhubung kehidupan sebuah keluarga bergantung daripada hasil kutipan dari tong sampah.

“Buat masa ini, kita berikan wang tunai dan keperluan harian untuk kegunaan keluarga Magdalena sebagai bantuan awal dan pihak YADIM akan meneliti semula bantuan lain agar dapat membantu wanita berkenaan menjana pendapatan tanpa selongkar tong sampah lagi.

Tuan Kamarul Arief bertanya khabar tentang kesihatan suami Magdalena.

“YADIM tidak mengira bangsa, agama mahupun keturunan untuk menyampaikan bantuan, bagi kita semua golongan kurang berkemampuan dalam negara ini mesti dibantu agar kehidupan mereka tidak terus terbeban,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Tambah beliau, sumbangan berjumlah RM4,000 yang disampaikan kepada keluarga berkenaan adalah hasil pemberian masyarakat kepada yayasan terbabit.

Hadir sama, Penyelaras YADIM Pulau Pinang, Mohd Afifi Ruslan.

Sementara itu, Magdalena merakamkan ucapan terima kasih buat seluruh rakyat Malaysia yang tampil memberikan sumbangan buat dirinya agar dapat meneruskan kehidupan seperti orang lain.

“Orang kenamaan dan individu perseorangan tidak putus menghubungi saya untuk menyampaikan bantuan walaupun saya berlainan agama.

“Segala sumbangan yang diterima ini akan digunakan untuk kos rawatan suami serta keperluan anak-anak,” ujarnya.

Semalam, MalaysiaGazette melaporkan seorang wanita terpaksa menyelongkar tong sampah setiap hari untuk menyara dua orang anak serta suaminya yang kini terlantar akibat diserang angin ahmar.

Orang ramai yang mahu menyalurkan bantuan boleh menghubungi Magdalena di talian 016-4000433. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Wanita hamil selongkar tong sampah setiap hari untuk sara keluarga