KOTA BHARU – Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) akan membina 12,000 unit kediaman berharga RM200,000 di bawah program Residensi Prihatin di Putrajaya.
Menterinya, Tan Sri Annuar Musa berkata, projek itu akan dilancarkan pada 22 Februari ini dan dijangka mengambil tempoh 24 hingga 30 bulan untuk siap.
Annuar berkata, kira-kira 8,000 unit yang bakal dibina itu merupakan lima projek Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia yang dijenamakan semula di bawah Residensi Prihatin, dengan sebahagian projek tersebut tergendala sebelum ini.
“Sementara empat projek lagi melibatkan 4,000 unit rumah akan dibuat secara permohonan cadangan (RFP) untuk pemaju dipilih secara terbuka,” katanya kepada pemberita selepas hadir gimik penyerahan hamper Tahun Baharu Cina di Taman Puspa, Kok Lanas, dekat sini hari ini.
Menurut Annuar, projek tersebut akan dibangunkan di kawasan strategik termasuk berhampiran pengangkutan awam, antaranya di Presint 7 dan 9.
Kementerian akan membuka permohonan kepada pembeli, dengan keutamaan kepada penjawat awam dan golongan muda yang berkeluarga, pada 23 Februari ini, katanya.
Beliau yakin projek tersebut akan mendapat sambutan memandangkan ramai pemohon sebelum ini gagal membeli rumah berharga RM300,000 menerusi Program Rumah Wilayah yang ditawarkan sebelum ini. – Bernama