Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Seorang warga emas yang memandu dalam keadaan mabuk dicekup ketika cuba melarikan diri selepas merempuh hingga maut seorang penunggang motosikal dalam kejadian di Serdang malam tadi.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (KJSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, lelaki berusia 52 tahun itu ditahan oleh orang awam yang mengejarnya selepas menyaksikan kejadian tersebut.

“Kejadian pada mulanya berlaku di Serdang dan lelaki warga emas terbabit telah memecut kenderaan jenis Toyota Hilux warna hitam yang dipandu selepas merempuh mangsa.

“Semasa tiba di Leburaya Bukit Jalil kawasan Kuala Lumpur, berhampiran Sirim Malaysia, orang awam yang menunggang motosikal telah bertindak menghalang leaki warga itu.

“Warga emas itu telah berhenti secara mengejut dan melanggar motosikal orang awam terbabit yang ketika itu berseorangan. Orang awam itu telah mengalami kecederaan ringan akibat dihempap motosikal miliknya akibat pelanggaran itu,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Zulkefly berkata, orang awam terbabit telah mengalami bengkak di bahagian peha kanan, bahu kanan serta luka pada jari sebelah kanan dan telah dihantar ke Hospital Serdang untuk mendapatkan rawatan.

Manakala, lelaki warga emas tersebut telah ditahan dan diserahkan kepada pihak polis, ujarnya.

Tambah beliau lagi, berdasarkan ujian polis mendapati warga emas terbabit memandu dalam keadaan di bawah pengaruh alkohol.

Ujarnya, polis membuka kertas siasatan berhubung kejadian mengikut Seksyen 44 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – MalaysiaGazette