KUALA LUMPUR – Kayuhan berbasikal secara berkumpulan tidak dibenarkan dan polis akan mengambil tindakan tegas kerana ia tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.
Itu nasihat Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah memandangkan masih ada mereka yang melanggar peraturan itu di ibu kota.
Ujar beliau, aktiviti kayuhan basikal secara berkumpulan melanggar SOP yang ditetapkan kerajaan telah dikesan polis di sekitar Dataran Merdeka, Jalan Tuanku Abdul Rahman, Jalan Raja Laut, Jalan Ampang dan Jalan Merbok.
“Kayuhan berkumpulan adalah tidak dibenarkan sama sekali walaupun keluar dari rumah berseorangan.
“Orang ramai yang didapati ingkar dan tidak mematuhi arahan ini khususnya yang berbasikal di sekitar bandar raya Kuala Lumpur akan diambil tindakan kompaun di atas ketidakpatuhan tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau merujuk kepada SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 2.0) yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS), kelonggaran beberapa sektor termasuk sukan dan rekreasi diberi kelonggaran di seluruh negara.
Menyedari hakikat ini, orang ramai adalah dinasihatkan untuk sentiasa mematuhi SOP khususnya melibatkan aktiviti berbasikal di tempat awam.
Menurut Mohamad Zainal, aktiviti berbasikal hanya dibenarkan berseorangan dan kayuhan tidak melebihi 10 kilometer dari tempat tinggal (kediaman).
Tambah beliau, ini kerana dari pemerhatian pihak polis setakat ini, masih terdapat pengingkar dikesan mengayuh basikal secara berkumpulan.
“Pihak PDRM tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan ke atas sesiapa jua yang melanggar SOP yang ditetapkan oleh kerajaan dari semasa ke semasa,” katanya.
Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat atau pertanyaan diminta untuk menyalurkannya dengan cara menghubungi IPD Dang Wangi di talian 03-2600 2222 atau Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana Balai Polis yang berdekatan.- MalaysiaGazette