17 individu berkumpul untuk meraikan hari lahir rakan di sebuah inap desa di Langkawi.

LANGKAWI – Keseronokan 17 individu mengadakan majlis sambutan hari lahir membawa padah selepas polis menyerbu sebuah inap desa di kawasan Makam Mahsuri  awal pagi tadi.

Serbuan jam 1 pagi itu dibuat sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Langkawi ketika membuat rondaan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

MalaysiaGazette difahamkan ketika serbuan, lelaki yang diraikan kumpulan tersebut pulang ke rumah untuk mengambil pakaian.

Selain itu, kumpulan berkenaan dikatakan menyewa inap desa tersebut untuk meraikan sambutan kelahiran ke-21 lelaki terbabit.

Polis tahan 17 individu berkumpul rai sambutan hari lari di sebuah inap desa di Langkawi.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari berkata, hasil siasatan ke atas 17 suspek termasuk empat wanita itu mendapati, mereka berkumpul untuk meraikan hari lahir seorang rakan lelaki.

“Hasil soal siasat mendapati kesemua mereka yang berusia lingkungan 18 hingga  32 tahun itu tinggal sekitar Langkawi.

“Kesemua mereka dikompaun sebelum dibebaskan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pekembangan sama, Shariman memberi amaran bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang sengaja melanggar peraturan PKP. – MalaysiaGazette