Tujuh remaja dibawa ke IPD Seri Alam untuk siasatan lanjut, manakala motosikal mereka disita. - Gambar ihsan IPK Johor

KUALA LUMPUR – Sekumpulan tujuh remaja yang sedang leka berlumba haram dan melakukan aktiviti samseng jalanan dicekup anggota polis dalam operasi malam tadi.

Semua remaja terbabit, yang berusia antara 17 hingga 23 tahun ditahan di Lebuh Raya Senai – Desaru (SDE), Johor selepas Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor menerima maklumat awam.

Menurut Ketua JSJT IPK Johor, Superintendan M. Kumarasan, sebaik menerima maklumat berkaitan aktiviti itu kira-kira jam 8 malam, teamnya yang melibatkan dua pegawai kanan dan 11 anggota diketuai Asisten Superitendan Mohd Zainudin Abu Bakar bergegas ke lokasi.

Superintendan M. Kumarasan – Gambar ihsan IPK Johor

“Hasil daripada operasi itu, team kita berjaya menahan tujuh lelaki atas kesalahan berlumba dan melakukan aksi bahaya di jalan awam, yang mana boleh mendatangkan bahaya kepada diri sendiri dan pengguna jalan raya lain.

“Alasan untuk melepaskan gian ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini tidak kesampaian, apabila semua mereka berjaya ditahan ketika berlumba dan melakukan aksi bahaya secara berkumpulan.

“Semua suspek berumur antara 17 hingga 23 tahun dibawa ke IPD Seri Alam untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, siasatan ke atas mereka dilakukan mengikut Seksyen 42 (1) dan Seksyen 108 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan dan tindakan diambil di bawah kesalahan PKP 2.0 Perkara 16(1) PPDPP 2021 kerana melanggar SOP ditetapkan.

Kata M. Kumarasan, hasil ujian urin ke atas semua tangkapan itu mendapati seorang daripada mereka positif Methamphetamine dan siasatan lanjut di bawah Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

“Sebanyak tujuh motosikal pelbagai jenama turut disita dan lapan keping saman Pol 257 telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan.

“Semua tangkapan disiasat di bawah Seksyen 42 (1) APJ 1987, yang mana jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun dan didenda tidak kurang RM5,000 dan tidak melebihi RM15,000 serta hilang kelayakan lesen memandu tidak lebih lima tahun,” katanya.

Katanya, lebuh raya SDE merupakan lokasi panas bagi aktiviti samseng jalanan berdasarkan aduan yang diterima sebelum ini dan hasil operasi berterusan JSPT Johor telah berjaya mengekang masalah sosial itu daripada terus berleluasa.

Beliau meminta ibu bapa memberi kerjasama dalam aspek pemantauan dan penyeliaan anak-anak dengan memantau aktiviti mereka ketika tempoh PKP ini supaya tidak terjebak dengan masalah sosial seperti itu. – MalaysiaGazette