UNITED KINGDOM – Patrick Bamford berjaya menjaringkan gol ke-100 dalam kariernya ketika Leeds United memperoleh kemenangan ke atas Crystal Palace 2-0.
Pemain berusia 27 tahun itu menambah jaringan selepas rehat untuk memastikan kemenangan ketiga Leeds dalam empat pertemuan terakhir Liga Perdana Inggeris mereka.
Sebelumnya, skuad kendalian Marcelo Bielsa mendahului permainan menerusi rembatan awal permainan Jack Harrison di Elland Road pada minit ketiga.
Menurut Bamford, apa yang penting ialah mendapatkan tiga mata tetapi ia juga bagus untuk mendapat gol ke-100 dalam kariernya.
“Ia mungkin sudah lama tertangguh, namun saya gembira kerana dapat menjaringkan gol selepas terlepas percubaan pertama,” katanya seperti dalam kenyataan BBC.
Kemenangan tersebut telah membawa Leeds melonjak ke tangga ke-10 dan sekali gus berpeluang merebut tempat untuk ke Liga Europa pada musim pertama mereka kembali ke liga tertinggi Inggeris itu. – MalaysiaGazette