KUALA LUMPUR –  Permintaan kereta Hyundai yang sangat rendah di Malaysia merupakan faktor penyumbang besar kepada keputusan penempatan semula syarikat tersebut ke Indonesia.

Lantaran itu, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) menyanggah artikel The Straits Times yang menyindir kononnya Malaysia bukan lagi lokasi pelaburan menarik untuk syarikat-syarikat multinasional (MNC).

Menurutnya, pasaran ASEAN telah menjadi tumpuan Hyundai sebagai pasaran baru untuk menggantikan China.

Oleh kerana faktor ini, peranan ibu pejabat wilayah Asia Pasifik Hyundai di Malaysia telah berkembang tetapi telah diklasifikasikan sebagai bentuk hab yang tidak lengkap kerana ketiadaan kilang pengeluaran di Malaysia.

Dengan pembinaan kilang pembuatan Hyundai di Indonesia, ibu pejabat Hyundai baharu diharapkan menjadi fully-formed space dengan produksi dan penjualan.

Mengulas mengenai penutupan anak syarikat Kumpulan Panasonic di Malaysia yang menghasilkan panel fotovoltaik (PV) atau solar MIDA berkata, penutupan itu disebabkan keputusan Panasonic Corporation, Jepun untuk menghentikan pengeluaran wafer, sel solar dan modul solar di kilangnya, baik di Jepun dan Malaysia.

Sebab utama penutupan ini adalah penurunan harga pasaran sel solar global dan kenaikan kos bahan mentah yang timbul daripada pengembangan global oleh syarikat China, selain memerlukan pelaburan modal yang lebih tinggi agar Panasonic terus berdaya tahan dalam perniagaan solar.

”Malaysia kekal sebagai pengeluar sel PV dan modul ketiga terbesar di dunia, selepas China dan Taiwan. Malaysia kini menganjurkan ekosistem fotovoltaik komprehensif yang terdiri daripada lebih 250 syarikat dalam aktiviti hulu (wafer dan sel) dan hiliran (penyongsang dan penyepadu sistem).

”Antara syarikat terkenal di Malaysia termasuk First Solar dan SunPower (USA), Hanwha Q Cells (Korea), Longi, Jinko Solar dan JA Solar (China).

”Malah, MIDA juga baru-baru ini meluluskan projek solar bersepadu utama yang akan memantapkan lagi peranan Malaysia dalam industri PV global. Pengumuman mengenai projek ini akan dibuat tidak lama lagi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambahnya, sepanjang tahun 2020, hanya sembilan syarikat perkilangan milik asing dengan jumlah pelaburan sebanyak RM394.3 juta di Malaysia yang telah melaksanakan langkah-langkah rasionalisasi perniagaan.

Syarikat-syarikat ini telah menutup operasi perniagaan mereka di Malaysia atau berpindah ke negara lain kerana teknologi distruktif yang mengubah landskap perniagaan dan pengurangan permintaan terhadap produk mereka.

Pelaburan ini hanya merupakan sebahagian kecil berbanding dengan jumlah pelaburan yang diluluskan dalam ekonomi untuk tempoh Januari-September 2020.

Jelas MIDA, pengumuman baru-baru ini mengenai syarikat berteknologi yang berhijrah ke negara pesaing di rantau ini tidak menjadi penghalang kepada Malaysia kerana terdapat pelbagai faktor yang menjadi dasar keputusan perniagaan untuk memilih destinasi pelaburan.

Ini termasuk kos buruh rendah, saiz pasaran domestik yang besar serta ketersediaan sumber mineral.

Sebilangan pelabur berpotensi dalam industri automotif, termasuk pengeluar kereta elektrik terkemuka di dunia mungkin sedang berusaha untuk membina kilang pemasangan mereka di negara-negara ini.

Walau bagaimanapun, Malaysia kekal sebagai pengeluar utama semikonduktor dan sensor untuk kereta dan sebenarnya Malaysia berada di barisan hadapan dalam era Internal Computed Engine (ICE) baru yang memerlukan semikonduktor sebagai pemacu Industri Kenderaan Elektrik (EV).

”Malaysia sebagai hab rantaian bekalan utama di rantau ini akan mendorong syarikat dan industri Malaysia untuk melabur untuk membekalkan teknologi, produk dan perkhidmatan kepada MNC yang melabur di negara-negara ASEAN.

”Aliran masuk FDI ke negara jiran tidak boleh dilihat secara negatif kerana Malaysia tetap mendapat manfaat daripada kesan limpahan pelaburan ini.

”Malaysia mempunyai salah satu ekosistem yang paling komprehensif di rantau ini termasuk dalam industri elektrik dan elektronik (E&E), mesin dan peralatan (M&E), aeroangkasa, automotif, serta peranti perubatan,” ujarnya.

Mengulas artikel The Straits Times yang memetik pandangan ketua Dewan Perniagaan dan Industri EUMalaysia (EUROCHAM) yang mempersoalkan keyakinan pelabur terhadap Malaysia, MIDA berkata, pandangan Ketua Pegawai Eksekutif EUROCHAM tidak semestinya mencerminkan pandangan semua anggotanya.

Dewan tersebut juga tidak mewakili semua MNC asing yang beroperasi di Malaysia.

Sebagai sebahagian daripada program kerjasama yang sedang dijalankan, MIDA telah bekerjasama erat dengan semua dewan peniagaan antarabangsa di Malaysia untuk membantu dan menyelesaikan kemusykilan anggota mereka.

Jumlah pelaburan yang diluluskan untuk tempoh Januari hingga September 2020 dan pengumuman projek-projek besar pada tahun ini menandakan keyakinan pelabur asing dan domestik terhadap Malaysia. W

Katanya, walaupun terdapat persekitaran pelaburan global yang mencabar kerana Covid-19, Malaysia mencatatkan pelaburan yang diluluskan bernilai RM109.8 bilion dalam ekonomi (perkilangan, perkhidmatan dan sektor utama) untuk sembilan bulan pertama tahun 2020.

Pelaburan ini melibatkan 2,935 projek dan mewujudkan 64,701 peluang pekerjaan. FDI menyumbang hampir 40 peratus (RM42.6 bilion).

Sektor perkilangan menarik sebahagian besar pelaburan yang diluluskan untuk tempoh ini, menyumbang lebih dari separuh (59.5 peratus) atau RM65.3 bilion, diikuti oleh sektor perkhidmatan (39 peratus/RM42.8 bilion) dan sektor primer (1.5 peratus/RM1.7 bilion).

Pelaburan yang diluluskan di sektor perkilangan untuk tempoh Januari hingga September 2020 menyaksikan peningkatan 16.6 peratus berbanding dengan tempoh yang sama pada tahun 2019.

Manakala FDI untuk sektor perkilangan terutamanya meningkat 3.2 peratus kepada RM39.4 bilion.

Pelaksanaan pelaburan ini dalam jangka pendek hingga sederhana akan memberi sokongan kepada pertumbuhan ekonomi pada tahun 2021 dan seterusnya. – MalaysiaGazette