Orang ramai menjamu selera di restoran berikutan Majlis Keselamatan Negara (MKN) bersetuju membenarkan baki keseluruhan perniagaan peruncitan beroperasi semula serta kebenaran makan di restoran bermula hari ini tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ketat termasuk satu meja terhad dua orang sahaja dengan penjarakan fizikal satu meter ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Bandar Sri Permaisuri, Cheras, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 10 FEBRUARI 2021.

KUALA LUMPUR – Semalam kerajaan mengumumkan kebenaran untuk makan di restoran dengan had dua orang semeja.

Meninjau hari pertama kebenaran itu, tinjauan MalaysiaGazette mendapati majoriti rakyat rasa teruja kerana kini mereka dapat menjamu di restoran.

Malah pelanggan yang makan di restoran juga didapati mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan.

Bagi Siti Aminah Mat Zain, 40, beliau dapat duduk di kedai makan walaupun hanya beberapa minit disifatkannya sebagai terapi selepas tidak keluar rumah agak lama.

“Bila dah boleh makan di kedai, hati macam berbunga-bunga. Sebab sebelum ini duduk rumah sahaja, kalau tidak boleh keluar makan di luar dalam tempoh yang lama pun rasa stress juga,” katanya.

Pelanggan, Siti Aminah Mat Zain, 40 bercakap semasa temubual mengenai premis-premis perniagaan yang dibenar beroperasi semula di Bandar Sri Permaisuri, Cheras, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 10 FEBRUARI 2021.

Ditanya sama ada beliau mempunyai perasaan bimbang makan di restoran, Siti Aminah berkata, beliau terlebih dahulu akan memastikan restoran yang ditujunya mengikuti Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan sebagai langkah berwaspada.

“Premis pun ikut SOP. Covid-19 ini pun macam dah sebati dengan kita jadi kita kena berhati-hati,” tambahnya.

Setelah kebanyakan masanya makan di dalam kereta sekiranya dalam tempoh bekerja, Firdaus Zainol, 38, kini menarik nafas lega.

Pelanggan, Firdaus Zainol, 38, bercakap semasa temubual mengenai premis-premis perniagaan yang dibenar beroperasi semula di Bandar Sri Permaisuri, Cheras, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 10 FEBRUARI 2021.

Ujarnya, kerjayanya sebagai pengurus pemasaran memerlukannya untuk ke pergi ke banyak tempat, justeru larangan makan di restoran sebelum ini dianggapnya merumitkan.

“Gembira sebenarnya sebab sekarang sudah boleh jumpa macam saya jumpa pelanggan. Sebelum ini pun kebanyakan masa kita makan di kereta di ofis,” katanya

Sementara itu, Peguam, Abdul Shukor Tokachil, 39, berkata, beliau tidak dapat mengungkapkan bagaimana perasaannya apabila kerajaan mengumumkan kebenaran ‘dine-in’ di kedai makan walaupun hanya terhad kepada dua orang sahaja untuk satu meja dengan penjarakkan sosial satu meter.

Peguam, Abdul Shukor Tokachil, 39 bercakap semasa temubual mengenai premis-premis perniagaan yang dibenar beroperasi semula di Bandar Sri Permaisuri, Cheras, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 10 FEBRUARI 2021.

“Sebelum ini kita hanya boleh bungkus sahaja, maka untuk orang yang bekerja seperti saya akan menjadi masalah untuk bungkus makanan kerana kesuntukkan waktu.

“Namun, alhamdulillah sudah boleh makan seperti biasa dan premis perniagaan juga saya lihat mematuhi SOP yang telah ditetapkan oleh kerajaan.

“Bagi saya, sebagai rakyat Malaysia kita harus patuh SOP untuk diri sendiri walaupun kerajaan sudah melonggarkan syarat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerana ini adalah norma baharu yang harus kita biasakan,” katanya.

Manakala bagi seorang pesara, Chai Weng Cheong, 68, berkata, beliau berasa sangat gembira kerana sudah dapat keluar rumah dan makan di kedai seperti biasa bersama rakannya.

Pesara Kerajaan, Chai Weng Cheong , 68 bercakap semasa temubual mengenai premis-premis perniagaan yang dibenar beroperasi semula di Bandar Sri Permaisuri, Cheras, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 10 FEBRUARI 2021.

“Saya sudah lama tidak keluar rumah, dan mula berasa seperti ada tekanan perasaan kerana semua aktiviti yang dilakukan sudah menjadi muak untuk dibuat.

“Terima kasih kepada kerajaan kerana memberi pertimbangan dan mendengar suara rakyat.

“Maka, saya berharap agar semua masyarakat mengikut SOP yan ditetapkan kerana jika kes meningkat kembali kemungkinan besar kerajaan boleh menarik semula peraturan yang telah ditetapkan ini,” ujarnya.

Pemerhatian MalaysiaGazette pagi tadi di beberapa kedai makan di Bandar Tasik Permaisuri mendapati, SOP dipatuhi dengan baik oleh pengusaha.

Anggota polis juga turun padang seawal jam 9.30 pagi meninjau tahap pematuhan orang ramai yang makan di restoran-restoran kawasan berkenaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast