Tan Sri Abdul Hamid Bador

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menasihatkan orang ramai untuk sentiasa mematuhi segala Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Bagi masyarakat Tiong Hua yang akan menyambut perayaan Tahun Baru Cina, pematuhan SOP dan amalan norma baharu adalah penting bagi menghentikan rangkaian jangkitan Covid-19, kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador.

“Dalam musim perayaan Tahun Baru Cina (disambut Jumaat dan Sabtu ini), PDRM masih akan menjalankan operasi-operasi pematuhan SOP bagi memastikan orang ramai mematuhi arahan-arahan yang telah dikeluarkan oleh kerajaan.

“Ia penting dalam memastikan usaha melandaikan lengkuk jangkitan Covid-19 berjaya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Malah kata Abdul Hamid, PDRM juga komited untuk mengambil tindakan tegas ke atas mana-mana individu yang sengaja mengingkari SOP Covid-19.

“Pada masa yang sama, PDRM akan terus menjalankan tugas-tugas pencegahan jenayah demi memastikan keselamatan serta kesejahteraan masyarakat terus terjamin dan terlindung.

“Dalam kesempatan ini saya mewakili warga PDRM mengucapkan Selamat Tahun Baru Cina kepada seluruh masyarakat berbangsa Tiong Hua yang menyambutnya,” kata beliau. – MalaysiaGazette