Suhakam

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) menzahirkan kebimbangan dengan laporan media baru-baru ini berhubung dakwaan serangan anggota polis terhadap seorang lelaki kerana dia disyaki terlibat dalam penyeludupan rokok.

Walaupun negara kini berada dalam keadaan darurat, ini tidak bermakna mana-mana pihak boleh menyalahgunakan kuasa mereka dalam apa jua keadaan.

Penyalahgunaan kuasa oleh pihak berkuasa bukanlah sesuatu yang baharu kerana antara tahun 2015 hingga 2020, Suhakam telah menerima sejumlah 479 aduan berhubung penggunaan kekerasan yang melampau dan salah guna kuasa oleh pihak polis.

Selaras dengan Panduan Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Hal Ehwal Dadah dan Jenayah (UNODC) mengenai Kebertanggungjawapan, Pengawasan dan Integriti Polis, Suhakam berpandangan proses semakan yang berkesan oleh sebuah badan pengawasan penguatkuasaan amat penting terutamanya dalam menangani kes-kes salah laku berkaitan penggunaan kekerasan dan senjata api yang melampau atau menyalahi undang-undang oleh pegawai polis.

”Suhakam ingin menekankan bahawa penggunaan kekerasan haruslah hanya mengikut keperluan dan bersekadar dengan objektif dan tahap tentangan yang dihadapi.

”Dalam hal ini, Suhakam menyeru agar penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC) 2020 disegerakan dan kerajaan perlu memastikan agar RUU IPCC ini merangkumi intipati Rang Undang-Undang Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) 2019 serta syor-syor Suruhanjaya Diraja Penambahbaikan Perjalanan dan Pengurusan Polis Diraja Malaysia (PDRM) 2005,” katanya dalam kenyataan di sini.

Tambahnya, penubuhan satu badan yang lebih bebas, adil dan telus akan mengembalikan dan meningkatkan keyakinan rakyat terhadap pasukan polis. – MalaysiaGazette