Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Dr. Ronald Kiandee (dua kanan) diiringi timbalannya, Datuk Seri Ahmad Hamzah (kiri) melakukan gimik Pelancaran Khidmat Agihan Bantuan Penjana Pertanian Bandar di Wisma Tani, Putrajaya. Foto HAZROL ZAINAL, 11 FEBRUARI 2021.

PUTRAJAYA – Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) mensasarkan sekurang-kurangnya 27,168 individu dari seluruh negara akan menerima pakej bantuan input Pertanian di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) bernilai RM500 setiap orang.

Menterinya, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, bantuan berupa benih, baja dan peralatan pertanian itu mampu menjimatkan perbelanjaan pesertanya sehingga RM110 sebulan jika diusahakan dengan baik.

“Tahun lepas saja 13,524 individu telah mendapat manfaat ini dan 632 komuniti dengan peruntukan sebanyak RM7.32 juta pada 2020.

“Pada tahun ini kita mensasarkan lebih 27,000 individu dan 1,046 komuniti dengan pakej bantuan input Pertanian bernilai RM500 bagi individu dan RM50,000 bagi komuniti,” katanya kepada pemberita di Wisma Tani, hari ini.

Terdahulu beliau menyempurnakan pelepasan khidmat agihan bantuan PENJANA Pertanian Bandar kepada syarikat penghantaran City-Link Express (M) Sdn. Bhd.

Ia bagi tujuan edaran kepada kumpulan penerima terakhir seramai 536 individu di sekitar Kuala Lumpur melibatkan 10 Parlimen.

Antaranya Parlimen Bandar Tun Razak seramai 159 individu, Batu (116), Cheras (40), Lembah Pantai (9), Seputeh (20), Titiwangsa (43), Setiawangsa (22), Wangsa Maju (56), Kepong (13) dan Segambut (58).

Dalam pada itu, pakej input pertanian itu dapat membantu individu dan komuniti dalam bandar, pinggir bandar dan desa untuk meringankan beban ketika pandemik Covid-19.

“Kalau diusahakan secara baik, sebanyak RM110 sebulan boleh dijimatkan oleh setiap keluarga yang mengikut program Kebuniti yang diolah oleh kementerian ini,” katanya. – MalaysiaGazette