PDRM police Nilai stepfather drugs boy Tanjung Sepat Selangor Exco Raya celebration
Gambar hiasan.

KOTA BHARU – Polis menahan dua suspek tengah hari tadi, tidak sampai 24 jam selepas seorang lelaki membuat laporan yang beliau disamun penjenayah menyamar sebagai pegawai polis, di Kampung Pauh Sembilan, Bachok.

Pemangku Ketua Polis Daerah Bachok, ASP Mohd Yusrizal Mohd Ghazali berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 12.30 tengah malam tadi, seorang lelaki berusia 31 tahun memberitahu bahawa dia berada di atas motosikalnya dekat dengan sebuah gerai menjual burger apabila didatangi dua lelaki yang menaiki sebuah Proton Waja sambil menjerit “polis”.

Dalam satu kenyataan di sini beliau berkata, suspek kemudiannya turun dari kenderaan dan terus merampas beg lelaki itu yang diletakkan di dalam raga motosikal, sebelum melarikan diri.

Katanya, bertindak atas maklumat, satu pasukan dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bachok berjaya mengesan suspek di kawasan Tawang, Bachok dan menahan kedua-dua mereka yang berumur 25 dan 33 tahun itu, antara pukul 11 pagi dan 1 tengah hari tadi.

Mohd Yusrizal berkata, polis juga berjaya merampas sebuah kenderaan Proton Waja berwarna biru dan barang-barang yang digunakan bagi tujuan samun termasuk sebilah parang berhulu plastik warna biru dan sebilah pedang Samurai serta wang tunai RM742 dipercayai hasil samun.

“Kedua-dua suspek kini direman selama tujuh hari untuk siasatan lanjut, dan kes akan disiasat mengikut Seksyen 395/506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6 Akta Bahan-Bahan Kakisan Dan Letupan Senjata Berbahaya 1958,” katanya. – Bernama