Seorang pencarum melihat syarat permohonan i-Sinar ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Ibu Pejabat Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 21 DISEMBER 2020.

KUALA LUMPUR – Warga siber menyambut baik dengan pengumuman kerajaan yang memansuhkan syarat-syarat pengeluaran i-Sinar Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) seperti yang diumumkan semalam.

Rata-rata mereka meluahkan rasa puas hati dan gembira pada ruangan komen Facebook KWSP.

Pemilik akaun Jamil Saharuddin berkata: “Mcm ni la.. kan senang dari awal setuju je.. Kami pencarum tegar.. Tak terjejas pun di hari tua jika kami keluarkn 10k ni.. Sbb kami kategori 2 masih tetap mencarum.. Apa pun terima kasih pada kwsp yg setuju.. Pada yg kecam sebelum ini tu anggap la kami bergurau dgn kwsp..”.

Johan Saputra pula berkata: ”Semoga saya lulus dan lyak utk dpt isinar… Tujuan utama nk settel kan hutang piutang yg dah lama tertunggak……hrap sgt2 saya dpt…. Sya doakn semoga kita smua yg memerlukan dipermudahkan.. Aamiin”.

”Alhamdulillah, terima kasih KWSP… jika benar seperti yg dinyatakan, dpt la sy melunaskan yuran kolej n asrama ank sy dan membeli brg keperluan mak ayah yg uzur di kg. Jg menjelaskan bil utiliti xg tertunggak… Moga doa sy setiap hari dimakbulkan…. AAMIINNN,” kata Qasseh Nur Seha Shahuri.

Ajib Sayap berkata:”Laksanakan Insyaallah Rakyat akan ucapkan terima kasih kepada kwsp walaupon duit tu duit mereka sendiri hakikatnya..”.

Zie Madini pula berkata: ”Harap semua permohonan dpt di luluskan. Tak luak mana pun 10k tu… sbb akan diganti balik 100% next caruman ke akaun 1. Semua yg mohon terjejas sbb tu kitorang pohon. Bukan mohon nak beli iPhone 12 ye 🙄 Nak nak lgi covid semakin berterusan entah bila akan berakhir We need to use our own money. Fullstop”.

Semalam, Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata, syarat-syarat pengeluaran caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menerusi kemudahan i-Sinar akan dimansuhkan.

Menurutnya, KWSP sedang dalam proses memansuhkan syarat kemudahan i-Sinar berikutan nasihat Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya KWSP menambahbaik inisiatif tersebut setelah mengambil kira maklum balas pihak awam.

Pemansuhan syarat bagi kemudahan i-Sinar itu akan membolehkan ahli KWSP yang berumur kurang daripada 55 tahun membuat pengeluaran dari simpanan Akaun 1 mereka tertakluk kepada baki yang sedia ada.

Katanya, bagi ahli yang telah memohon i-Sinar berdasarkan kriteria semasa, permohonan mereka akan diluluskan secara automatik tidak lama lagi.

Cadangan pengeluaran wang caruman KWSP ini dibuat oleh Datuk Seri Najib Razak mengambil kira kesan kewangan yang dihadapi rakyat akibat pandemik Covid-19.

Pada 2 Disember lalu, KWSP telah mengumumkan kriteria-kriteria pengeluaran i-Sinar yang terdiri daripada Kategori 1 dan 2 yang membabitkan lapan juta ahli-ahlinya.

Kategori 1 melibatkan mereka yang bekerja di sektor formal, bekerja sendiri, bekerja di dalam sektor ekonomi gig, sudah lama tidak mencarum, hilang pekerjaan, suri rumah atau yang diberi notis cuti tanpa gaji.

Pemohon kategori berkenaan boleh mula membuat permohonan secara dalam talian pada 21 Disember ini dengan pembayaran kepada ahli yang layak akan dibuat pada pertengahan Januari 2021.

Sementara bagi Kategori 2 pula, pemohon boleh membuat permohonan bermula pada 11 Januari 2021 yang terdiri daripada ahli yang masih bekerja tetapi mengalami pengurangan pendapatan keseluruhan sebanyak 30 peratus dan ke atas.

Penetapan Kategori 2 ini menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan pencaruman yang gagal dalam permohonan mereka. – MalaysiaGazette