Tangkap layar menunjukkan seorang lelaki menunggang motosikal secara melawan arus di Lebuh Raya BKE semalam.

SEBERANG PERAI – Polis sedang mengesan seorang lelaki menunggang motosikal curi secara melawan arus di Lebuh Raya Butterworth-Kulim (BKE) yang tular di media sosial semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd Samad berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu daripada anggota polis trafik pada jam 6.10 petang semalam.

Katanya, berdasarkan video tular berdurasi satu minit itu kejadian lelaki berkenaan didapati menunggang motosikal secara bersendirian dari arah Permatang Pauh menghala Seberang Jaya.

Difahamkan, video tersebut dirakam pengguna jalan raya yang lain sebelum ia ditularkan melalui aplikasi WhatsApp.

“Susulan daripada kejadian itu, pihak Polis Peronda Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) menemui motosikal tersebut ditingggalkan di KM8.4 Lebuh Raya BKE arah barat.

“Semakan mendapati motosikal tersebut dilaporkan hilang bersabit laporan di Perai,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya lagi, pihak polis masih belum menerima aduan daripada perakam atau mana-mana individu yang mempunyai butiran berkaitan kejadian itu.

“Usaha untuk mengesan penunggang motosikal dan perakam video sedang dijalankan,” ujar Shafee.

Kes disiasat mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987. – MalaysiaGazette