Natanael Siringo Ringo.

KUALA LUMPUR – Kelantan FC mengumumkan kehadiran pemain import dari Indonesoia, Natanael Siringo Ringo untuk memperkuatkan pasukan itu dalam sainga Liga Premier musim ini.

Berita itu disahkan secara rasmi oleh laman Facebook kelab itu, TRW Kelantan FC.

Berusia 22 tahun, Natanael dilabel sebagai antara prospek masa depan yang mampu untuk menjadi tunjang kekuatan skuad kebangsaan Indonesia.

Ini kerana pemain kelahiran Medan, Indonesia itu pernah dipanggil menyertai sesi latihan pusat skuad Garuda yang dibimbing oleh pengendali dari Korea Selatan, Shin Tae-yong.

Dia juga kini sedang menjalani sesi latihan skuad bawah 23 tahun Indonesia yang sedang mempersiapkan diri bagi menghadapi saingan Sukan SEA di Vietnam bermula 21 November nanti.

Kehadiran bekas pemain Sulut United dan PSMS Medan dalam kempen Liga 2 Indonesia ini dilihat amat bertepatan dengan metodologi baharu yang cuba diterapkan Kelantan FC.

Bakat Natanael juga mula dicungkil daripada futsal yang mana beliau pernah beraksi bersama SDR FC Binjai yang beraksi dalam kempen  Liga Pro Futsal Indonesia 2018.

Dia difahamkan telah mengikat kontrak setahun dengan pilihan lanjutan selama tiga musim bersama Kelantan FC. – MalaysiaGazette