Mayat wanita yang ditemui terapung di Tasik Taman Jaya dibawa naik oleh anggota bomba .

PETALING JAYA – Seorang wanita yang didakwa bersenam pada kira-kira 8 pagi di Tasik Taman Jaya, di sini ditemui terapung di tasik tersebut sejam kemudian.

Setakat ini, tiada elemen jenayah dikesan ke atas mangsa.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, polis menerima maklumat berhubung kejadian itu pada jam 10.09 pagi tadi.

Menurutnya, polis mendapatkan bantuan anggota bomba dan penyelamat untuk membawa mayat itu ke darat.

Nik Ezanee berkata, polis telah mengambil keterangan saksi di lokasi kejadian tersebut.

Katanya, saksi seorang pekerja di kawasan berkenaan memaklumkan dia telah melihat mangsa sedang bersenam berdekatan tasik tersebut sekitar jam 8 pagi.

Pada jam lebih kurang 9 pagi, dia menjumpai mayat terapung di dalam tasik dipercayai wanita yang dilihat sejam yang lalu.

“Siasatan mendalam polis tidak menemui sebarang dokumen pengenalan diri daripada badan mangsa.

“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut sementara menunggu keputusan bedah siasat dari Pusat Perubatan Universiti Malaya,” tegas beliau.-MalaysiaGazette