Datuk Zainuddin Yaacob. foto MOHD ADZLAN, 18 DISEMBER 2020.

KUALA LUMPUR – Orang ramai dinasihatkan supaya berhati-hati sekiranya bercadang untuk mengadaikan barangan berharga di pajak gadai.

Itu nasihat Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman kerana bimbang wujud risiko penipuan pajak gadai tidak berlesen spanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sekarang.

Pengarahnya, Datuk Zainuddin Yaacob berkata, daripad sudut pandangan polis. situasi sekarang memungkinkan wujudnya aktiviti pajak gadai tidak berlesen atau penipuan yang mengambil kesempatan ke atas mangsa yang terdesak untuk mendapatkan wang pada waktu PKP.

“Sehubungan itu adalah dinasihatkan agar masyarakat sentiasa berwaspada dan berhati-hati sekiranya ingin menggadaikan barangan berharga dan pastikan berurusan dengan syarikat pajak gadai yang dilesenkan kerajaan sahaja.

“Jangan sesekali berurusan melalui medium atas talian kerana aktiviti pajak gadai hendaklah dijalankan secara fizikal di premis perniagaan yang berdaftar.

Walaupun setakat ini tiada laporan polis berkaitan kes sebegini diterima namun kebarangkalian untuk kes-kes sebegini berlaku adalah tidak mustahil,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Justeru  Zainuddin berkata, masyarakat perlu sentiasa berjaga-jaga dan mengambil tahu prosedur dan undang-undang berkaitan bagi mengelak daripada menjadi mangsa penipuan.

Menurutnya, usaha dan peranan dari polis serta masyarakat amat pemting bagi memastikan negara ini terhindar dari perlakuan jenayah komersial.

“Antara lain masyarakat juga diingatkan sentiasa mengamalkan sikap berjimat cermat dan mengutamakan keperluan hidup secara bermewah-mewah bukan lagi suatu pilihan kerana yang lebih penting adalah memastikan kelangsungan hidup itu sendiri,” tegas beliau. – MalaysiaGazette