Suarez tidak berhasrat meninggalkan Atletico untuk tempoh yang panjang.

MADRID – Luis Suarez boleh meninggalkan Atletico Madrid secara percuma akhir musim ini.

Laporan di La Liga Sepanyol mendakwa status klausa dalam kontrak yang dimeterai bintang Uruguay itu bersama pendahulu La Liga membolehkan dia bebas meninggalkan kelab itu atas kemahuannya.

Bintang berusia 34 tahun itu menandatangani kontrak dua tahun selepas meninggalkan Nou Camp September tahun lalu.

Beliau berjaya menjaringkan 16 gol dalam 18 penampilan bersama pasukan yang terkenal dengan jolokan Rojiblancos.

Bagaimanapun bekas bintang Barcelona itu dikatakan tidak berhasrat meninggalkan skuad Diego Simeone itu disebabkan persekitaran dan persahabatan erat dengan pengurus dan juga rakan sepasukannya

Gol Suarez memainkan peranan utama dalam mengangkat skuad Simeone mengungguli carta La Liga tanpa dicabar Real Madrid dan Barcelona dengan jurang perbezaan mata.

Suarez juga merupakan penjaring terbanyak La Liga musim ini dan dilaporkan menerima bonus £875,000 selepas menjaringkan 15 gol.

Justeru insentif lumayan menanti Suarez sekiranya jumlah jaringan mencecah 20 gol musim ini.

Suarez mengharungi musim yang mengecewakan di Nou Camp di bawah kendalian Ronald Koeman yang menggantikan Quique Setien yang dipecat oleh Barcelona.

Koemen secara mengejut mendedahkan bahawa Suarez dalam senarai pemain yang hendak dijual dan tidak berada dalam pelan pembangunan semula Barcelona.- MalaysiaGazette