Kejadian kebakaran menyebabkan tujuh kenderaan milik penduduk di PPR Pantai Ria,musnah dalam kejadian di Pantai Dalam tengahari ini.Foto Ihsan PDRM

KUALA LUMPUR – Sebanyak tujuh buah kenderaan milik penduduk hangus dalam kebakaran yang berlaku di Blok D, Projek Perumahan Rakyat (PPR) Pantai Ria.

Kejadian dilaporkan berlaku pada Rabu sekitar jam 12.45 tengahari tadi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Brickfields, Superintendan Basri Sagoni berkata, pihak polis menerima satu maklumat berhubung kes khianat dengan api yang mengakibatkan
kebakaran kereta.

Katanya, seorang wanita tempatan dipercayai penduduk di perumahan rakyat itu, memaklumkan bahawa kebakaran berlaku di sebuah tempat letak kereta (awam) di kawasan PPR itu.

“Pihak Polis telah pergi ke lokasi kejadian dan hasil pemeriksaan mendapati sebanyak tujuh buah kenderaan pelbagai jenama telah musnah terbakar.

“Kertas siasatan telah dibuka dan kes ini disiasat di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya , pihak forensik bomba turut hadir ke lokasi kejadian untuk menyiasat insiden kebakaran kenderaan di perumahan itu.

“Hasil penyiasatan di tempat kebakaran itu, pasukan bomba telah menjumpai satu botol berbau petrol.

“Mereka juga menemui kesan simbahan petrol di hadapan sebuah kereta Myvi
berwarna hitam dan sebuah van berwarna merah yang disyaki menjadi punca
kebakaran.

“Sebanyak lima spesimen di tempat kebakaran telah diambil pasukan dan akan dibawa ke makmal kimia untuk menganalisa punca sebenar kebakaran yang mengakibatkan kenderaan penduduk musnah,” katanya.

Beliau dalam perkembangan berkaitan menasihati orang ramai supaya tidak terlibat dengan sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang.

Katanya, Polis Brickfields akan terus kekal fokus bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam kekal terpelihara.

“Sebarang pertanyaan atau maklumat boleh disalurkan ke Hotline Polis Brickfields di talian 03-2297 9222, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana Balai Polis yang berdekatan,” katanya.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast