BAYAN LEPAS – Segelintir pemandu bas kilang di Zon Perdagangan Bebas (FTZ) di sini memang layak dilabel samseng jalanan.
Ini kerana mereka mengamalkan cara pemanduan yang bahaya tanpa mempedulikan keselamatan pengguna jalan raya lain.
Rata-rata mereka bukan saja tidak mempedulikan peraturan jalan raya, bahkan seolah-olah mencabar pihak berkuasa dengan sengaja melanggar peraturan yang ditetapkan itu.
Tinjauan MalaysiaGazette pada waktu puncak dan ketika pekerja kilang tamat syif terutama di Bayan Baru menghala Bukit Jambul dan Relau mendapati kira-kira 10 pemandu bas kilang dilihat memotong kenderaan di garisan berkembar termasuk ‘menghimpit’ kenderaan kecil lain.
Malah ada dalam kalangan mereka bertindak berani memecut laju ketika lampu isyarat mula bertukar warna kuning selain tidak memberi memberi isyarat ketika memotong.
Masalah berkenaan turut menyebabkan berlaku kesesakan jalan raya sekali gus mengundang risiko kemalangan.
Seorang pengguna jalan raya, Ivon Chow mengakui sudah lali dengan keadaan pemandu bas kilang yang suka memandu laju selain memotong kenderaan sesuka hati di kawasan Relau.
“Laluan ini merupakan laluan utama saya dari rumah ke tempat kerja dan setiap petang saya lihat situasi yang sama berlaku seolah-olah bas kilang ini bebas memandu dalam apa sahaja keadaan.
“Selain itu, pengguna jalan raya yang lain terpaksa menunggu lama di lampu isyarat ekoran bas kilang suka memotong tanpa memberikan laluan kepada pengguna yang sudah lama menunggu giliran,” katanya kepada MalaysiaGazette ketika ditemui semalam.
Sehubungan itu, Ivon menggesa pihak bertanggungjawab seperti polis, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) memantau keadaan tersebut dan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang terlibat.
Seorang lagi pengguna jalan raya, Muhammad Zahid Hamdan pernah menyaksikan kemalangan di laluan tersebut memandangkan kedainya berhampiran jalan itu.
“Saya pernah lihat sebuah kereta dihimpit bas kilang kerana enggan memberi laluan sedangkan bas itu yang salah memotong garisan kembar.
“Pemandu bas kilang beranggapan kenderaan mereka bersaiz besar dan tidak takut dengan kenderaan lain yang lebih kecil. Kalau mereka himpit pun tidak meninggalkan kesan langsung pada badan bas itu,” katanya.
Dalam pada itu, katanya, asap hitam dan pekat yang dikeluarkan bas kilang juga mencemarkan alam sekitar dan kesihatan pengguna lain.
“Cuba bayangkan kalau penunggang motosikal berada di belakang bas kilang itu, sudah tentu bau asap memberi kesan sampingan terhadap kesihatan orang lain.
“Saya harap pihak berkuasa tempatan memasang kamera khususnya di kawasan Relau, Bayan Baru dan Bayan Lepas yang menjadi laluan utama bas kilang agar dapat membendung gejala samseng jalanan sebegini,” jelas Muhammad Zahid. -MalaysiaGazette
Lama dh wei depa perangai lagutu..baru tau ka