PSG beraksi cemerlang menentang Barcelona apabila gol Kylian Mbappe berjaya menjinakkan the Catalans di Nou Camp dalam aksi pusingan ke-16 Liga Juara-Juara Eropah awal pagi tadi.

MADRID – Gergasi La Liga Sepanyol, Barcelona tersungkur di gelanggang sendiri apabila dilanyak Paris Saint-Germain dalam aksi pusingan ke-16 Liga Juara-Juara Eropah awal pagi tadi.

Gol hatrik menarik yang diledakkan oleh bintang mudanya, Kylian Mbappe dan gol kemenangan pemain pinjaman dari Everton, Moise Kean mudah memalukan the Catalans 4-1 di Nou Camp.

Pada separuh masa pertama pasukan tuan rumah kendalian Ronald Koeman membuka gol awal pada minit ke-27 hasil sepakan penalti menerusi pemain superstar mereka Lionel Messi.

Bagaimanapun, the Catalans gagal mempertahankan kelebihan itu untuk menambah jaringan apabila pasukan pelawat bimbingan Mauricio Pochettino bangkit menyamakan kedudukan 1-1 di separuh masa pertama.

Mbappe bijak merembat gol cantik pada minit ke-32 sekaligus mengejutkan tuan rumah.

Bermulanya separuh masa kedua, PSG terus mendominasi perlawanan dan Barcelona seolah kebuntuan dalam menambah jaringan di kubu lawan.

Mbappe tidak mengambil masa lama untuk mengejutkan Barcelona sekali lagi apabila meletakkan pasukannya di hadapan menerusi gol kedua pada minit ke-65.

Dengan berbekalkan semangat gol kedua itu, PSG terus merobek kubu pertahanan Barcelona yang bermasalah itu sebelum Kean menambah gol ketiga untuk PSG.

PSG tidak menunjukkan sebarang belas kasihan dalam soal jaringan ke atas tuan rumah sebelum Mbappe sekali lagi muncul wira meledakkan gol ketiga dan juga hatrik pada minit ke-85.

Neymar yang dilanda kecederaan tidak beraksi dalam kesebelasan utama PSG malam tadi.

Aksi timbal balik pusingan kalah mati akan berlangsung di Paris pada 20 Mac ini dan Barcelona akan bertandang dengan defisit ke Paris bagi mencari gol lebih di tempat lawan untuk mara ke pusingan suku akhir nanti.- MalaysiaGazette