Tengku Adnan Tengku Mansor

KUALA LUMPUR – Akaun rahsia hanyalah satu persepsi negatif untuk dijadikan isu bagi memburukkan imej UMNO dengan memperlihatkan ia sebagai konotasi tidak baik.

Ini kerana UMNO telah menafikan dakwaan kononnya terdapat akaun rahsia yang telah dibuka sejak tahun 1988.

Bendahari UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, UMNO sememangnya sebuah pertubuhan siasah dan parti politik yang menerima sumbangan sejak sebelum merdeka lagi dan kesinambungan perjuangannya jelas sehingga ke hari ini bagi membela agama, bangsa dan negara.

Menurutnya, perlu diketahui bahawa kes pembekuan akaun UMNO ini masih dalam rayuan di Mahkamah Rayuan sehingga ke Mahkamah Persekutuan.

Walhal akaun UMNO sentiasa diaudit oleh juruaudit bertauliah setiap tahun dan dihantar kepada Pejabat Pendaftar Pertubuhan (ROS).

Sebagai pertubuhan yang berdaftar, UMNO sentiasa patuh dan menjunjung tinggi setiap perundangan dan peraturan yang ditetapkan serta mengutamakan ketelusan dan integriti atas nama parti yang berkhidmat kepada rakyat.

”Beringatlah dan belajarlah dari pengalaman lalu sebagaimana UMNO/BN hilang kuasa pada PRU lalu kerana manipulasi isu dan fitnah pihak tertentu, maka hari ini diakui bahawa spekulasi dan propaganda murahan dibuat atas tujuan tidak lain ingin memberi persepsi negatif juga.

“Barangkali tidak berpuas hati terhadap keputusan mahkamah sebelum ini setelah akaun UMNO dinyahbeku tahun lalu.
Sungguh, apapun cabaran dan rintangan UMNO tetap tidak akan hilang fokus terhadap memperjuangkan kemaslahatan rakyat khususnya ketika negara dan dunia sedang dilanda dengan pandemik Covid-19 dan masalah ekonomi merudum,” katanya.

Lantaran itu, UMNO meminta semua pihak agar menghentikan fitnah dan propaganda yang ingin merosakan imej parti itu sebaliknya sama-sama berusaha memulihkan kesejahteraan Malaysia tercinta.

Buat UMNO, katanya, keutamaan adalah ‘Bersatu, Bersetia, Berkhidmat’ dari ‘dulu, kini dan selamanya’ kerana dengan asas dan tujuan perjuangan yang sentiasa relevan demi agama, bangsa dan tanah air, dari rakyat, untuk rakyat dan kerana rakyat. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Begitu ke nak tutup kesalahan. Tabur bunga selori atas bangkai gajah. Nak tutup kejahatan dengan kejahatan juga rasuah ke atau kuasa.vito ……

Comments are closed.