Mulai esok, orang ramai dibenarkan makan di kedai atau restoran mengikut keluasan atau saiz meja, bukan lagi dua orang seperti sebelum ini.

KUALA LUMPUR – Kerajaan bersetuju melonggarkan syarat ‘dine-in’ di kedai makan dan restoran serta jumlah penumpang kereta di seluruh negara, termasuk negeri yang melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mulai esok.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika mengumumkan perkara itu berkata, mulai esok tidak ada lagi syarat dua orang satu meja di mana-mana kedai makan atau restoran atau dua penumpang bagi satu kereta sebagaimana ditetapkan sebelum ini.

Bagaimanapun, katanya, setiap daripada mereka perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP_ penjarakan fizikal satu meter ketika berada di meja makan dan begitu juga dalam kenderaan.

“Seperti yang saya maklumkan dua hari lalu, empat negeri masih kekal dilanjutkan PKP iaitu Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Johor dan Pulau Pinang sehingga 4 Mac ini.

“Manakala Kedah, Perak, Negeri Sembilan, Melaka, Pahang, Terengganu, Kelantan, Wilayah Persekutuan Putrajaya, Wilayah Persekutuan Labuan dan Sabah dilonggarkan kepada PKP Bersyarat (PKPB).

“Perlis, satu-satunya negeri yang dilonggarkan kepada PKP Pemulihan (PKPP), yang juga berkuatkuasa mulai esok,” katanya dalam sidang media harian mengenai Covid-19 di sini, hari ini.

Ismail Sabri Yaakob

Menurut Ismail Sabri, jumlah penumpang kereta termasuk pemandu ialah mengikut kapasiti kenderaan berkenaan, begitu juga jumlah yang boleh dine-in di kedai maka atau restoran mesti mengikut kesesuaian saiz meja.

Katanya, orang ramai boleh mendapatkan secara terperinci SOP bagi semua sektor dalam laman sesawang Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan setiap daripada mereka perlu mematuhinya demi menjayakan usaha kerajaan mengekang penularan wabak Covid-19.

Beliau turut menjelaskan, antara sektor peruncitan yang dibenarkan bagi semua kawasan PKP, PKPB dan PKPP ialah kedai buku serta carboot sale.

Begitu juga dengan majlis akad nikah, mulai esok upacara itu dibenarkan diadakan di pejabat agama dan masjid dengan kehadiran maksimum 20 orang tidak termask jurunikah dan saksi bagi negeri bawah PKP.

Namun, katanya, mereka perlu mendapatkan kelulusan pihak berkuasa agama negeri kerana ia tertakluk bawah bidang Jabatan Agama Islam Negeri masing-masing.

“Di kawasan PKPB pula kehadiran dibenarkan ialah 50 peratus mengikut keluasan premis dengan penjarakan satu meter antara satu sama lain.

“Bagi majlis pernikahan dan resepsi bukan Islam, juga kita juga turut bincangkan dan akan diumumkan oleh Menteri Perpaduan Negara,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast