Ahmad Fadhli Shaari

KUALA LUMPUR – Dewan Pemuda Pas menggesa kerajaan mempertimbangkan semula kebenaran kepada semua operator perjudian berlesen untuk beroperasi semula yang berkuat kuasa 15 Februari lalu.

Timbalan Ketuanya, Ahmad Fadhli Shaari berkata, meskipun hasil keseluruhan cukai judi yang dikutip kerajaan agak lumayan, namun ia bukan alasan untuk membenarkan semula aktiviti itu dilaksanakan.

“Pada 2019 (sehingga September), kerajaan mengutip cukai sebanyak RM2.72 bilion manakala 2018 sebanyak RM2.018 bilion daripada aktiviti perjudian, namun ia tidak boleh dijadikan alasan untuk membenarkan semula aktiviti ini dilaksanakan.

“Apatah lagi jika dibincangkan dari sudut keperluan dan keutamaan, aktiviti perjudian bukannya satu perkhidmatan perlu yang wajar disegerakan perkhidmatannya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Ahmad Fadhli membangkitkan isu berkenaan selepas tular satu surat yang memaklumkan semua operator perjudian yang dilesenkan oleh Kementerian Kewangan Malaysia dibenarkan beroperasi semula.

Berdasarkan surat terbabit, kerajaan meminta kerjasama semua operator perjudian untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi pencegahan dan kawalan Covid-19.

Menurut Ahmad Fadhli, ketika rakyat sedang tertekan akibat wabak pandemik Covid-19, tindakan membenarkan aktiviti perjudian hanya akan menambah parah ke atas luka rakyat.

“Ia dibimbangi hanya akan mencetuskan masalah sosial lain dan tidak berbaloi dengan cukai yang berjaya dikutip oleh kerajaan nanti.

“Sudah tentu jika dilihat di dalam Islam sekalipun, ia merupakan dosa besar yang dibenci bahkan dalam semua agama utama di dunia juga, judi dianggap perbuatan tidak bermoral,” katanya.

Sehubungan itu, Dewan Pemuda Pas telah menghantar teguran itu kepada Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz untuk membuat penilaian semula.

“Pemuda Pas yakin, adanya ruang untuk kerajaan mempertimbangkan semula perkara ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette