KUALA LUMPUR – Kerajaan dianggarkan mengalami kerugian sebanyak  RM2.16 juta setahun akibat penjualan pelekat Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) yang dijalankan oleh tujuh individu.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Indera Khairul Dzaimee Daud berkata, sindiket tersebut meraih keuntungan sehingga RM80,000 sebulan dengan menjual pelekat pas itu kepada Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI).

“Melalui kegiatan penjualan pelekat-pelekat ini, kerajaan dianggarkan kerugian sebanyak RM1,800 bagi setiap keping pelekat yang dijual dan digunakan oleh PATI, akibat Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) tidak dapat mengutip hasil levi, bayaran Pas dan bayaran proses yang ditetapkan kerajaan,” katanya menerusi kenyataan.

Sindiket penjualan pelekat PLKS tumpas selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bersama-sama JIM menahan tujuh orang dalam beberapa siri Ops Sticker yang dilakukan sejak 14 Febuari lalu.

Ketujuh-tujuh individu yang terlibat berusia di antara 30 hingga 39 tahun itu terdiri dari empat kakitangan sebuah syarikat percetakan keselamatan dan tiga orang awam.

Sindiket berkenaan dipercayai telah melakukan aktiviti itu sejak tiga tahun lalu dan mengaut keuntungan bernilai jutaan ringgit, ujarnya.

Kesemua tujuh suspek dihadapkan di Mahkamah Majistret Putrajaya pagi tadi untuk direman bagi membantu sistan kes tersebut.-MalaysiaGazette