Chow Kon Yeow (atas, dua dari kanan) ketika berucap pada Majlis Penyampaian Watikah First Support Point Kerajaan Negeri Pulau Pinang secara online hari ini.

GEROGE TOWN – Kes keganasan rumah tangga di Pulau Pinang menunjukkan peningkatan terutamanya ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac tahun lalu.

Justeru kerajaan negeri Pulau Pinang mengambil inisiatif dengan menjadikan 40 Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri itu sebagai First Support Point dalam usaha menangani dan membantu mangsa keganasan rumah tangga di negeri tersebut.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, langkah itu dibuat selepas mengambil kira kepentingan semasa untuk memberi perlindungan serta membasmi perilaku keganasan rumah tangga.

Kon Yeow.

Jelas Kon Yeow, berdasarkan kajian daripada Penang Institute pada April 2020, pertubuhan bukan kerajaan yang mengendali kes keganasan rumah tangga seperti SNEHAM dan WCC telah menerima banyak panggilan sejak bulan Mac berbanding sebelum PKP.

“Panggilan kepada WCC telah meningkat sebanyak 267% dari minggu pertama ke minggu kedua PKP.

“Selain itu, statistik Polis Diraja Malaysia juga menunjukkan 343 kes dilaporkan pada bulan April 2020 berbanding tempoh yang sama iaitu sebanyak 226 kes pada tahun 2019,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Watikah First Support Point Dasar Keluarga Selamat Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang dilakukan secara online hari ini.

Menurut beliau, ramai mangsa kes keganasan rumah tangga yang mengalami kesukaran untuk mendapat bantuan yang diperlukan, khususnya semasa PKP.

“Situasi pandemik Covid-19 telah menghadkan pergerakan rakyat dan bukan semua orang boleh mencari bantuan ke hospital, balai polis yang berjauhan dengan rumah mereka.

“Jadi dengan mewujudkan lebih banyak tapak sokongan (support points), saya yakin mangsa-mangsa keganasan rumah tangga dapat mendapatkan bantuan dengan lebih efektif,” ujar Kon Yeow.

First Support Point ini ditubuhkan oleh agensi kerajaan, pejabat agama, Pusat Khidmat ADUN, MPKK, JPWK, pertubuhan bukan kerajaan dan pertubuhan agama.

Peranan First Support Point adalah untuk menyalurkan kes-kes keganasan rumah tangga kepada agensi yang bersesuaian secara bersistematik. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast