Penerbit dan Pelakon, Datuk Hans Isaac menyampaikan buah limau kepada peniaga kaum Cina pada Program Ziarah Mesra Komuniti Cina Ampang di Pasar Ampang, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 20 FEBRUARI 2021.

AMPANG – Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) tidak sewajarnya menyekat mahupun menghalang mana-mana penggiat seni untuk menegur kepincangan yang berlaku dalam industri kreatif, apatah lagi melibatkan agensi kerajaan itu.

Penerbit dan pelakon, Datuk Hans Isaac menegaskan, selaku pemain industri lebih 30 tahun, beliau atau mana-mana penggiat seni selayaknya diberi peluang membuat teguran untuk memastikan dana awam untuk industri kreatif disalurkan secara saksama dan adil.

“Kalau saya komen, nanti orang kata saya nak jatuhkan orang selalu, saya komen sebagai inisiatif untuk orang memperbaiki keadaan industri kreatif.

“Saya komen sebagai pemain industri selama 30 tahun, berilah hak itu, saya sudah 30 tahun, berjuta-juta ringgit saya masuk dalam produksi-produksi, bagi kerja kepada orang, beribu orang kerja di bawah syarikat saya dulu.

“Berilah saya peluang (tegur) sebagai rakyat, kalau komen saya silap, saya minta maaf, tapi saya tahu apa yang saya cakap dalam industri ini,” katanya ketika ditemui pemberita di Pasar Ampang, di sini, hari ini.

Terdahulu beliau bersama pasukannya iaitu badan bukan kerajaan (NGO), Aku Budak Ampang, menyampaikan bantuan Tahun Baharu Cina kepada warga emas komuniti Cina di Pasar Ampang, sejak awal pagi tadi.

Dalam pada itu, Hans juga menyedari dan tidak menafikan ada kalanya teguran yang diberikan sebelum ini disalah anggap sedangkan ia tidak mensasarkan mana-mana pihak mahupun penggiat seni.

“(Kritikan) tidak tertumpu kepada individu-individu (tertentu), mungkin ada orang tersentap.

“Ini bukan syarikat sendirian berhad, ini adalah agensi kerajaan, ini syarikat berkaitan kerajaan (GLC), macam mana dia boleh guna duit rakyat untuk saman rakyat, saya pun tak faham bila rakyat bersuara apa mereka nak luahkan,” katanya.

Hans turut melahirkan rasa kesal apabila ada pihak-pihak tertentu cuba menyekat rakyat untuk menyuarakan pandangan secara bebas, sedangkan ia dijamin oleh Perlembagaan.

“Saya rasa ada kenyataan untuk mereka (pemimpin GLC) nak sekat semua orang bercakap, kenapa nak sekat, saya pun nak tahu kenapa nak sekat kebebasan bersuara.

“Rakyat ada hak untuk bersuara, betul atau salah terpulang kepada dia untuk berbincang dengan mereka, uruskan masalah-masalah tertentu, itu sebab mereka ada di sana (Finas),” katanya lagi. – MalaysiaGazette