Gambar Hiasan.

KUALA LUMPUR – Syarikat penerbangan tambang murah, AirAsia Group, berharap dapat memainkan peranan aktif dalam kempen vaksinasi dengan menyediakan perkhidmatan penghantaran vaksin Covid-19 menrusi cabang logistiknya, Teleport.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsianya, Tan Sri Tony Fernandes berkata, malah juruterbang dan kru kabinnya yang belum kembali bertugas sepenuhnya boleh membantu sebagai petugas barisan hadapan untuk program vaksinasi iitu.

Tambah beliau, ini kerana mereka telah dilatih untuk memberi pertolongan kecemasan dan dapat menangani kecemasan berkaitan perubatan.

“Cabang logistik kami Teleport sentiasa bersedia untuk membantu, termasuklah mengambil vaksin dari China dan Rusia apabila tersedia, dan membuat penghantaran secara domestik di Malaysia, Indonesia, Thailand, Filipina, India dan negara-negara lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin menerima suntikan vaksin COVID-19, Pfizer-BioNTech menandakan bermulanya Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.

Pada 26 Januari lalu, Kementerian Kesihatan Malaysia dalam satu hantaran Facebook menyatakan Pharmaniaga Lifescience Sdn Bhd (PLS) akan membekalkan sebanyak 12 juta dos Covid-19 CORONAVAC, SARS-COV-2 Vaccine (Vero Cell) Inactivated yang dihasilkan oleh syarikat dari China, Sinovac Life Science Co Ltd.

Kenyataan itu menyebut, pembekalan vaksin itu dijangka dilaksanakan secara berperingkat-peringkat mulai April ini manakala, Syarikat Duopharma (M) Sdn Bhd pula akan membekalkan sebanyak 6.4 juta dos vaksin Sputnik V yang dihasilkan oleh Gamaleya Research Institute of Epidemiology and Microbiology di Russia.

Menurut Tony, apa penting ialah pelaksanaan program vaksinasi menyatakan garis masa yang paling jelas dan nyata mengenai kawalan sepenuhnya terhadap pandemik itu dan kehidupan akan kembali seperti biasa dengan norma baharu.

Ujarnya, dengan sumbangan 15% kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahunan dan 24% daripada jumlah pekerjaan di negara ini, sektor pelancongan adalah salah satu pemacu ekonomi yang paling penting dan para pemain industri itu harus diberi keutamaan sebagai penerima vaksin. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast