Seorang bekas eksekutif inventori sebuah syarikat logistik, T. Vadivelan mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini atas pertuduhan gagal melaporkan kesalahan penyogokan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Shah Alam, Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 25 FEBRUARI 2021.

SHAH ALAM – Seorang bekas eksekutif inventori sebuah syarikat logistik mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan gagal melaporkan kesalahan penyogokan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), pada 15 Oktober 2017.

Tertuduh, T. Vadivelan Thirumalaysamy, 50, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Rozilah Salleh.

Mengikut pertuduhan, tertuduh pada 15 Oktober 2017 di No 14, Persiaran Perusahaan Blk-B Unit 3, Seksyen 23 40300 Shah Alam, Selangor yang bertugas sebagai Eksekutif Inventori di Logistik Logwin Air + Ocean (M) Sdn Bhd ditawarkan wang suapan berjumlah RM4,804.40.

Wang sogokan itu telah ditawarkan oleh Pengurus Lara Syazul Global Resources, Rabeek Stichick supaya kerja-kerja pembekalan tenaga kerja kepada Logwin Air + Ocean tidak dihentikan dan ditarik semula.

Pada tahun 2013 sehingga 2019, Lara Syazul Global Resources mula membuat kerja-kerja membekalkan kira-kira 20 tenaga pekerja asing kepada Logwin Air + Ocean.

Tertuduh telah menghubungi Rabeek dan memaklumkan dia akan mengetip kad perakam bagi pekerja-pekerja Lara Syazul Global Resources yang tidak hadir dan upah mereka perlu diserahkan kepada tertuduh sebagai pengesahan bahawa pekerja-pekerja ini hadir pada hari tersebut.

Sebagai balasan, tertuduh akan mencadangkan kepada Logwin Air + Ocean untuk meneruskan kontrak lantikan kerja-kerja yang dilakukan oleh Syarikat Lara Syazul Global Resources untuk pembekalan tenaga kerja itu.

Pembayaran sogokan dilakukan melalui pindahan daripada akaun CIMB Lara Syazul Global Resources ke dalam akaun peribadi tertuduh di Malayan Banking di alamat No 1, Jalan Dinar GU3/G , Seksyen U3 , Taman Subang Perdana, di sini.

Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 25 (1) Akta SPRM 2009 (Akta 694) kerana gagal melaporkan kesalahan penyogokan kepada pihak SPRM dan boleh dihukum di bawah Seksyen 25 (2) Akta sama.

Akta SPRM 2009 memperuntukkan hukuman denda sehingga RM100,000 atau penjara tidak lebih 10 tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwaraya SPRM, Fadhli Ab Wahab dan tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu tertuduh, 50, memohon mahkamah mengurangkan hukuman denda terhadapnya kerana dia mempunyai tanggungan besar termasuk membiayai pengajian kedua-dua anaknya yang berusia 20 dan 18 tahun di sebuah pusat pengajian tinggi awam.

Tertuduh juga yang kini bekerja sebagai eksekutif gudang di sebuah syarikat dengan pendapatan RM3,500 sebulan dan perlu menanggung ibu bapa mertua yang menghidapi penyakit buah pinggang dan seorang nenek.

Eksekutif gudang itu juga mengakui kesalahannya di hadapan Hakim Rozilah dan menyatakan komitmen untuk tidak mengulangi kesilapan sama.

Hakim Rozilah membenarkan hukuman denda dikurangkan kepada RM10,000 dan jika gagal membayar denda, tertuduh boleh dikenakan penjara empat bulan. – MalaysiaGazette