JPJ Pulau Pinang mengeluarkan saman terhadap pemandu bas kilang dalam operasi khas semalam.

BAYAN LEPAS – Tidak memiliki lesen memandu, potong barisan serta langgar lampu isyarat antara kesalahan pemandu bas kilang di Zon Perdagangan Bebas (FTZ), di sini, yang dikesan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang dalam satu operasi khas.

Operasi selama tiga hari berakhir semalam itu dilakukan susulan laporan MalaysiaGazette berhubung tindakan segelintir pemandu bas kilang yang berlagak samseng jalanan di kawasan Relau dan Bukit Jambul baru-baru ini.

Pegawai JPJ mengeluarkan saman terhadap pemandu bas kilang dalam operasi khas di sekitar Relau semalam.

Pengarah JPJ Pulau Pinang, Adenan Md Isa berkata, sebanyak 73 buah bas kilang diperiksa dalam operasi bermula jam 5 petang hingga 7.30 malam selama tiga hari itu.

“Daripada jumlah pemeriksaan itu, sebanyak 26 buah bas pekerja telah diambil tindakan atas pelbagai kesalahan seperti tiada lesen memandu kenderaan perkhidmatan awam ( PSV ), potong queue (barisan), gagal patuhi lampu isyarat merah dan salah guna LKM.

“Selain itu, kita juga dapati beberapa tayar bas kilang itu haus berlebihan, lampu brek dan isyarat tidak berfungsi dan lain-lain kesalahan teknikal di kesan,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Operasi khas JPJ selama tiga hari berjaya mengesan pelbagai kesalahan yang dilakukan pemandu bas kilang.


Dalam perkembangan sama, Adenan menasihatkan pemandu dan pemilik bas kilang mematuhi peraturan dan undang-undang jalan raya semasa memandu.

“Selain itu, pemilik kenderaan perlu memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik dan memuaskan supaya keselesaan dan keselamatan penumpang terjamin semasa menggunakan perkhidmatan bas pekerja,” ujar beliau.

Pada 17 Februari lalu, MalaysiaGazette melaporkan segelintir pemandu bas kilang di Zon Perdagangan Bebas (FTZ) di sini memang layak dilabel samseng jalanan.

Ini kerana mereka mengamalkan cara pemanduan yang bahaya tanpa mempedulikan keselamatan pengguna jalan raya lain.

Rata-rata mereka bukan saja tidak mempedulikan peraturan jalan raya, bahkan seolah-olah mencabar pihak berkuasa dengan sengaja melanggar peraturan yang ditetapkan itu.-MalaysiaGazette