KUALA LUMPUR – AMMB Holdings Berhad  bersetuju dengan penyelesaian global bernilai RM2.83 bilion untuk menyelesaikan semua tuntutan dan tindakan tertunggak berkaitan dengan penglibatan Kumpulan AmBank di dalam isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Menurut Kementerian Kewangan, penyelesaian global terkini itu adalah sebahagian daripada usaha tuntutan kembali oleh kerajaan Malaysia yang berterusan terhadap semua pihak yang
terlibat, secara langsung atau tidak langsung, dengan 1MDB dan entiti yang berkaitan dengannya.

“Pada bulan Julai 2020, Kerajaan telah berjaya di dalam rundingan dengan Goldman Sachs untuk mencapai sebuah penyelesaian bernilai RM15.8 bilion (US$3.9 bilion).

“Walau bagaimanapun, kesemua penyelesaian ini tidak akan membebaskan entiti dan individu lain dari salah laku mereka di dalam kes 1MDB, dan mereka akan tetap didakwa menerusi sistem keadilan mahkamah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, penyelesaian global oleh AMMB Holdings Berhad adalah berkait dengan pematuhan undang-undang sekuriti dan garis panduan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).

Tambahnya, sebahagian daripada terma-terma penyelesaian global itu termasuk syarat oleh SC agar AmInvestment Bank
Berhad mengambil langkah-langkah pembetulan, termasuk menambahbaik sistem dan proses untuk memperkuatkan kerangka kerja tadbir urus mereka di dalam penilaian sukuk
terbitan korporat.

Sementara itu, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz berkata, penyelesaian terbaharu itu bermanfaat bagi rakyat Malaysia.

“Penyelesaian perkara ini melalui sistem mahkamah akan melibatkan masa dan sumber kewangan yang banyak.

“Dengan penyelesaian ini, pembayaran jumlah tersebut akan dipercepatkan, dan tidak akan tertangguh melalui sistem
pengadilan mahkamah yang akan memakan masa,” katanya.

Tambah Tengku Zafrul, jumlah itu juga dapat digunakan untuk melangsaikan kewajiban tertunggak 1MDB.

Jumlah penyelesaian tersebut adalah tambahan kepada denda sebanyak RM53.7 juta yang telah dikenakan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) dan telah dibayar oleh Kumpulan AmBank, ujarnya.

Sementara itu, Tengku Zafrul berkata, Kumpulan AmBank telah mengambil langkah-langkah menyeluruh untuk memperbetulkan kekurangan yang berkaitan dengan urus niaga terbabit.

Katanya, ini termasuk langkah-langkah di bawah program pemulihan yang disyaratkan oleh BNM untuk dilaksanakan oleh Kumpulan AmBank, yang kini diterajui oleh lembaga pengarah dan pasukan pengurusan kanan yang baharu.

Tambah beliau, dengan langkah-langkah itu, kumpulan perbankan itu berada dalam keadaan lebih baik untuk terus melindungi kepentingan pendeposit serta pemegang saham selain emastikan pertumbuhannya pada masa hadapan.

Menurut Tengku Zafrul, penyelesaian global itu tidak akan mempengaruhi atau menjejaskan tuntutan Malaysia terhadap individu seperti Jho Low, Jasmine Loo dan pihak-pihak lain yang berkaitan, dan yang masih giat dicari berkaitan dengan skandal 1MDB. – MalaysiaGazette